TENTERA Israel dalam kereta kebal Merkava. Foto Menahem Kahana, Agence France-Presse
TENTERA Israel dalam kereta kebal Merkava. Foto Menahem Kahana, Agence France-Presse
AFP

TENTERA Israel semalam mendedahkan butiran baharu kereta kebal yang sedang dibangunkannya, direka lebih khusus untuk situasi perang gerila.

Dinamakan Merkava 4 Barak dan dijadual beroperasi dalam tempoh tiga tahun, ia adalah siri kereta kebal Merkava Israel, yang secara tradisinya memfokuskan memerangi tentera konvensional di negara jiran Arab.

Rejim Zionis berkata, model baharu itu mencerminkan situasi konflik dihadapinya sedang mengalami perubahan.

“Musuh tidak semestinya sebuah negara dan senjata, namun musuh yang menggunakan manusia,” kata Brigadier Jeneral Guy Hasson, ketua kor bersenjata rejim Zionis.

Kereta kebal ‘dwi-kegunaan’ itu menggunakan teknologi termasuk sistem pengesan yang memberi pengendalinya pemandangan penuh kawasan sekitar menerusi topi keledar dipakainya.

Model itu, yang turut dilengkapi sistem komputer berasaskan kecerdasan buatan (AI), direka untuk lebih selamat dalam persekitaran perang gerila tertutup.

Tentera Israel menggunakan kereta kebal di sepanjang sempadan dengan Gaza ketika ketegangan meningkat bantahan dan pertembungan selama beberapa bulan, menyebabkan lebih 140 penduduk Palestin dibunuh.

Tentera Israel melepaskan serangan di kedudukan milik pemerintah Gaza, Hamas serta individu yang dituduh cuba menyusup masuk ke dalam Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 2:13 PM