LETUPAN yang berlaku di Semenanjung Gaza. Foto AFP
LETUPAN yang berlaku di Semenanjung Gaza. Foto AFP
Reuters

REJIM Zionis membedil 25 lokasi pejuang Hamas di Semenanjung Gaza sejak awal pagi tadi selepas diserang dengan tembakan roket dan mortar.

Menurut penduduk tempatan, dua anggota Hamas mengalami kecederaan ringan dalam serangan udara berkenaan yang dilakukan di selatan Semenanjung Gaza.

Tiada kematian dilaporkan setakat ini pada pihak Israel dalam serangan berkenaan yang disifatkan sebagai antara paling sengit membabitkan tembakan roket dan serangan udara.

Siren serangan udara dan aplikasi amaran menerusi telefon turut kedengaran tanpa henti sejak awal pagi tadi.

Menurut tentera rejim, 30 tembakan roket dan mortar sudah dilepaskan ke arah wilayah dikuasai Israel dan sistem perlindungan peluru berpandu Iron Dome berjaya memintas tujuh roket.

Sejak peperangan terakhir bersama Hamas pada 2014, Israel sudah meningkatkan usaha mengekang serangan merentasi sempadan termasuk memperbaiki keupayaan pemintas roket dan melabur dalam teknologi untuk mengesan serta memusnahkan terowong gerila.

Sejak beberapa minggu lalu, penduduk Palestin sudah melepaskan ribuan layang-layang berisi bara dan bahan bakar melepasi sempadan Gaza untuk menyebabkan kebakaran di kawasan ladang serta hutan.

Mereka turut menerbangkan bahan letupan bersaiz kecil yang menyebabkan banyak kerosakan di wilayah milik Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 2:18 PM