ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di timur Rafah. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat susulan serangan Israel di timur Rafah. FOTO AFP
Agensi

Gaza: Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, mengumumkan bahawa pejuangnya menembak tepat seorang pegawai tentera Israel dan menyasarkan sebuah kenderaan pengangkut kakitangan berperisai di Bandar Gaza, pada Sabtu, lapor Agensi Anadolu.

Kumpulan itu dalam kenyataan berasingan di Telegram berkata, mereka berjaya menembak seorang pegawai Zionis dengan senapang 'Ghoul' di kejiranan selatan Zaytoun di Bandar Gaza.

Kumpulan itu juga berkongsi gambar di aplikasi sama yang diberi keterangan "57 misi yang dilakukan oleh penembak tepat al-Qassam, termasuk 34 dengan senapang Ghoul".

Pada 2014, al-Qassam mula mengeluarkan video mengenai senapang penembak tepat buatan tempatan yang baharu di Semenanjung Gaza, yang dinamakan Ghoul.

Senapang itu bersempena nama Adnan Al-Ghoul, iaitu seorang pemimpin unit pembuatannya, yang dibunuh oleh Israel pada 22 Oktober 2004, di Bandar Gaza.

Dalam ulasan pada video yang disiarkan di laman web mereka pada masa itu, kumpulan itu berkata, senapang penembak tepat baharu yang dinamakan Ghoul adalah senapang berkaliber 14.5 milimeter (mm) dengan jarak tembakan sehingga 2 kilometer (km) dan ia adalah antara produk buatan tempatan Al-Qassam.

Briged al-Qassam dalam kenyataan berasingan berkata, pejuang menyasarkan kereta kebal Merkava Israel dengan peluru 'tandem' dan pengangkut kakitangan berperisai Israel, dengan bahan letupan, di kawasan kejiranan selatan Zaytoun, menyebabkan seorang terbunuh, manakala seorang lagi cedera.

Pada awal Sabtu, tentera Israel mengumumkan kematian seorang pegawai baharu dalam barisannya.

"Pegawai Eyal Shominov, 24, dari kawasan Karmiel, seorang komander kompeni dalam Batalion Shaked (424), Briged Givati, terbunuh dalam pertempuran di utara Semenanjung Gaza," katanya.

Tentera tidak mendedahkan butiran tambahan mengenai pertempuran yang membawa kepada kematian Shominov.

Menurut data di laman web tentera Israel, 577 pegawai dan tentera sudah terbunuh sejak kumpulan bersenjata yang berpangkalan di Gaza, Hamas, melancarkan serangan mengejut pada 7 Oktober tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 238 terkorban dalam pertempuran darat yang bermula di Gaza pada 27 Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 10:03 AM