KERETA kebal Israel yang dicuri akhirnya ditemui di tempat pembuangan sampah. FOTO AFP
KERETA kebal Israel yang dicuri akhirnya ditemui di tempat pembuangan sampah. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Pihak berkuasa rejim zionis Israel masih buntu bagaimana sebuah kereta kebal yang sudah ditamatkan perkhidmatan dapat dicuri dari zon latihan ketenteraan.

Arab News melaporkan, pihak zionis sedang cuba memikirkan kes kecurian kereta kebal itu yang kemudian ditemukan di tempat pembuangan sampah berhampiran beberapa jam kemudian.

Kereta kebal Merkava 2 Israel hilang dari zon latihan di utara Israel berhampiran bandar pantai Haifa, kata tentera Israel Rabu.

Zon latihan ditutup kepada orang ramai apabila digunakan, tetapi boleh diakses oleh orang yang lalu lalang.

Polis berkata kereta kebal seberat 65 tan itu ditemui terbiar di tempat pembuangan sampah berhampiran pangkalan tentera.

Dalam video di tempat kejadian, kereta kebal hijau tentera itu berada bersama serpihan logam berkarat dan sisa industri lain di kawasan pelupusan.

Tentera zionis berkata, Merkava 2 sudah ditamatkan perkhidmatannya beberapa tahun lalu dan tidak bersenjata.

Rejim itu berkata, namun ia telah digunakan baru-baru ini sebagai kenderaan pegun untuk latihan askar.

Polis berkata mereka sudah menahan dua suspek berkaitan kecurian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2023 @ 10:45 AM