Keadaan pensil celak yang menusuk mata seorang wanita dalam teksi di Bangkok. - Agensi
Keadaan pensil celak yang menusuk mata seorang wanita dalam teksi di Bangkok. - Agensi
Agensi

Bangkok: Seorang wanita berusia 20-an yang asyik bersolek nyaris buta tertusuk pensil celak akibat teksi dinaikinya terbabit kemalangan kecil ketika kesesakan lalu lintas di Bangkok, minggu ini.

Wanita itu yang mahu berjumpa rakan, duduk di bahagian belakang teksi yang bergerak perlahan sambil menggunakan pensil celak apabila teksi berkenaan tiba-tiba melanggar kereta di depan.

Perlanggaran itu menyebabkan wanita berkenaan hampir tersembam mukanya mengenai penyandar kerusi di depan menyebabkan pensil celak berkenaan tertusuk ke dalam mata kirinya.

Menurut Daily Mail yang memetik laporan media tempatan, dia bernasib baik kerana tusukan pensil berkenaan tidak mengenai bahagian penting mata, menyelamatkannya daripada buta.

Anggota paramedik Thanabodee Sabbodi yang merawat mangsa di tempat kejadian berkata, separuh daripada pensil menusuk ke dalam rongga mata mangsa.

“Kemalangan berlaku kira-kira 5 petang di kawasan Din Daeng, Bangkok.

“Kami menerima panggilan kecemasan menyatakan wanita cedera akibat matanya tertusuk pensil.

“Wanita itu dalam keadaan kesakitan ketika kami sampai, namun dia masih boleh bercakap menceritakan apa yang berlaku,” katanya.

Wanita itu dikejarkan ke Hospital Rajavithi dan pensil berkenaan berjaya dikeluarkan.

Thanabodee berkata, ia kemalangan yang pelik dan mengingatkan wanita supaya berhati-hati ketika bersolek di dalam kereta yang bergerak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Jun 2018 @ 10:57 AM