SEMUA 50 murid SK Batu Empat (1) Sentul yang menerima sumbangan barangan dapur dan pensel.
SEMUA 50 murid SK Batu Empat (1) Sentul yang menerima sumbangan barangan dapur dan pensel.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Nasibnya tidak sama seperti rakan seusia dengannya apabila terpaksa tinggal bersama datuk dan nenek kerana ibu kandung tidak dapat dikesan sejak dia dilahirkan.

Lebih malang apabila dua daripada enam adik-beradiknya tidak dapat meneruskan persekolahan disebabkan kemiskinan yang menghimpit.

Sukar digambarkan segala kepayahan yang terpaksa diharungi keluarga ini kerana hanya bergantung kepada sumber pendapatan datuknya berusia 62 tahun yang bekerja sebagai anggota keselamatan secara sambilan.

Mohd Fari Abdullah, 11, kini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Empat (1) Sentul, Kuala Lumpur dan kesusahan hidupnya mendapat perhatian Empire Project untuk menyumbangkan barangan dapur.

Dia antara 50 murid sekolah berkenaan yang menerima bantuan itu selain sumbangan set alat tulis di bawah program Empire Pencil Project.

Pengurus Empire Project Mohd Asyraf Khan Najib berkata, sumbangan itu susulan program Empire Food Bank pertubuhan berkenaan yang membabitkan lebih 150 keluarga miskin bandar di sekitar Lembah Klang.

MURID SK Batu Empat (1) Sentul yang dipilih menerima sumbangan.
MURID SK Batu Empat (1) Sentul yang dipilih menerima sumbangan.

“Kini kami memperluaskan manfaat Empire Food Bank kepada murid terpilih dengan kerjasama guru sekolah.

“Bantuan barangan dapur ini bernilai RM30 dan mereka menerima barangan seperti beras, minyak masak, serbuk minuman, tepung gandum, bijiran sarapan serta bihun,” katanya.

Beliau berkata, sumbangan itu sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan keluarga penerima dan memberikan kegembiraan kepada mereka.

Sementara program Empire Pencil Project pula, Mohd Asyraf berkata, sekali lagi pertubuhan itu melakar sejarah dengan memecahkan rekod tersendiri apabila berjaya mengumpul 12,236 pensil.

“Tahun lalu, kami hanya mengumpul 10,224 pensil hasil kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar SMK Sri Hartamas.

“Semua pensel ini akan diberikan kepada pelajar yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya dan kanak-kanak di Kemboja.

“Peningkatan jumlah kutipan pensel setiap tahun menunjukkan keprihatinan rakyat Malaysia yang ingin sama-sama melakukan kebaikan biar pun sekadar sebatang pensel,” katanya.

Katanya, program itu akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha menggalakkan kanak-kanak lebih aktif dalam penulisan.

Selain mengharapkan mereka menjadi seorang yang mahir menulis, melukis dan kreatif.

MOHD Asyraf Khan (kanan) bersama seorang penerima.
MOHD Asyraf Khan (kanan) bersama seorang penerima.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 6:52 AM