Redzuan Muharam


“IDEA itu datang secara spontan dan niat saya memudahkan murid sebelum mereka masuk ke dewan peperiksaan,” kata Muhammad Fildza Daniel Mohd Nasir.

Muhammad Fildza Daniel memberi reaksi berhubung videonya mengasah pensil murid menjadi perhatian warganet hingga mendapat lebih 100,000 tontonan selepas dimuat naik di Twitter semalam.

Bercerita lanjut, dia yang kini berkhidmat sebagai guru pelatih di Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam, Shah Alam berkata, dia menawarkan khidmat itu secara sukarela bagi membantu murid tahun enam yang mula menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) semalam.

“Khidmat mengasah pensil itu dilakukan ketika rehat pagi semalam selepas semua calon selesai menduduki kertas Bahasa Melayu (Pemahaman).

“Saya tak berseorangan sebaliknya dibantu dua guru lain bagi membantu calon yang ketika itu berkumpul di dalam dewan.

“Saya sempat mengasah kira-kira 30 pensil sebelum mereka (calon) masuk semula ke dewan dan seronok kerana dapat membantu memandangkan mereka adalah murid saya sendiri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

MUHAMMAD Fildza Daniel bergambar bersama muridnya. FOTO ihsan Muhammad Fildza Daniel
MUHAMMAD Fildza Daniel bergambar bersama muridnya. FOTO ihsan Muhammad Fildza Daniel

Muhammad Fildza Daniel yang mengajar subjek Bahasa Inggeris berkata, khidmat sukarela itu tidak terhenti setakat semalam sebaliknya akan diteruskan sehingga hari terakhir peperiksaan, 11 September ini.

Katanya, di samping mengisi masa terluang khidmat itu salah satu usahanya untuk membantu muridnya sebelum menamatkan latihan perguruan akhir bulan ini.

“Banyak juga komen diterima sejak tularnya video berkenaan dan rata-ratanya memberi maklum balas positif.

“Namun ada juga warganet mempersoalkan tindakan itu dan mengatakan mereka (murid) terlalu manja hingga guru terpaksa membantu mengasah pensil.

“Sedangkan, saya dan guru lain lakukannya secara sukarela dan sama sekali tidak berniat menjadikannya tular,” katanya yang bercadang menyambung pengajian dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) selepas tamat latihan perguruan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:46 PM
MUHAMMAD Fildza Daniel membantu mengasah pensil murid yang juga calon UPSR. FOTO ihsan Muhammad Fildza Daniel
MUHAMMAD Fildza Daniel membantu mengasah pensil murid yang juga calon UPSR. FOTO ihsan Muhammad Fildza Daniel