Pearl (kanan) dan Isauro dipenjara seumur hidup kerana membunuh Gabriel. FOTO NBC LA/KTLA via Daily Mail
Pearl (kanan) dan Isauro dipenjara seumur hidup kerana membunuh Gabriel. FOTO NBC LA/KTLA via Daily Mail
Daily Mail

Los Angeles: Ibu dipenjara seumur hidup manakala teman lelakinya dihukum mati kerana menyeksa dan mendera anak lelakinya berusia lapan tahun hingga mati semata-mata menuduh kanak-kanak itu gay.

Pearl Fernandez, 34 dan Isauro Aguirre, 37, dijatuhkan hukuman itu, kelmarin kerana mengakibatkan kematian Gabriel pada Mei 2013.

Mangsa diseksa selama beberapa bulan oleh pasangan terbabit di rumah mereka di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Mereka menguncinya di dalam kabinet malah memukul dengan kayu besbol serta menembaknya dengan pistol angin.

Pendakwa raya memberitahu mahkamah, mereka memaksa Gabriel tidur dengan mata ditutup kain di dalam kabinet selain memberinya makan najis.

Dia dikejarkan ke hospital pada 23 Mei 2013 kerana pernafasannya terhenti.

Pemeriksaan doktor menemui pelet peluru tertanam pada paru-parunya dan mangsa turut mengalami keretakan tengkorak.

Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles, George Lomeli menyifatkan kes perbuatan pasangan kekasih itu lebih teruk daripada haiwan.

“Haiwan pun tahu bagaimana menjaga anak mereka. Memang dalam 20 tahun kerjaya saya, ini kes paling teruk pernah saya lihat.

“Saya harap kamu berdua tidak lena tidur pada waktu malam. Biar kamu terjaga dan dihantui dengan perbuatan kejam kamu ini.

“Fikirkan, kecederaan dilakukan kepada kanak-kanak yang cuma berusia tujuh tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 5:35 PM