SISI ketika selesai upacara mengangkat sumpah untuk jawatan Presiden Mesir untuk penggal kedua. FOTO/AFP
SISI ketika selesai upacara mengangkat sumpah untuk jawatan Presiden Mesir untuk penggal kedua. FOTO/AFP
Reuters

KAHERAH: Abdel Fattah al-Sisi mengangkat sumpah sebagai Presiden Mesir untuk penggal kedua, hari ini ketika kerajaan mengekang pembangkang, susulan kemenangan besar beliau dalam pilihan, Mac lalu yang menyaksikan pembangkang utama menarik diri.

Beberapa jet pejuang tentera udara melakukan pertunjukan dengan ‘melukis’ asap berwarna merah, putih dan hitam membentuk bendera Mesir, sementara helikopter terbang atas konvoi bekas ketua tentera terbabit, ketika beliau menghampiri bangunan Parlimen.

“Saya beri jaminan untuk menerima penyokong pembangkang, mewujudkan persefahaman bersama, keamanan sosial dan pembangunan politik sebenar selain pembangunan ekonomi kita.

“Saya tidak akan menolak sesiapa di negara ini kecuali mereka yang memilih keganasan dan pemikiran pelampau sebagai cara memperjuangkan kemahuan mereka,” kata Sisi ketika berucap selepas mengangkat sumpah yang disiarkan secara langsung.

Sisi bertanggungjawab menjalankan operasi memerangi pembangkang dan pertempuran yang meragut ramai korban dengan pemberontak Islam di Semenanjung Sinai, ketika penggal pemerintahan pertamanya.

Beliau juga berdepan kesukaran meningkatkan ekonomi kerana terpaksa melaksanakan langkah perjimatan dituntut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk program pinjaman AS$12 bilion (RM47.74 bilion).

Penyokong beliau berkata, dasar kejam beliau perlu untuk melindungi negara itu daripada pergolakan, susulan tunjuk perasaan yang menggulingkan Presiden diktator, Hosni Mubarak pada 2011.

Pengkritik beliau berkata, Sisi mengehadkan peluang demokrasi, sementara reformasi ekonomi termasuk pembatalan subsidi serta peningkatan cukai menyebabkan harga barangan naik serta menjejaskan popularitinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 6:51 AM