Hamdan (kiri) beramah mesra dengan beberapa ADUN selepas Majlis Mengangkat Sumpah. FOTO Azhar Ramli
Hamdan (kiri) beramah mesra dengan beberapa ADUN selepas Majlis Mengangkat Sumpah. FOTO Azhar Ramli
Muhammad Mustakim Ramli

MAJLIS Angkat Sumpah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mencatat sejarah tersendiri apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menyaksikan bilangan ADUN pembangkang paling ramai iaitu enam orang.

Kali terakhir DUN Perlis yang mempunyai 15 ADUN keseluruhan memiliki pembangkang paling ramai adalah pada tahun 1999 iaitu tiga ADUN dari PAS.

Pada penggal kali ini pembangkang terdiri daripada tiga wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) iaitu Asrul Nizan Abd Jalil (Sena), Gan Ay Ling (Indera Kayangan) dan Nor Azam Karap (Kuala Perlis).

Wakil rakyat PAS pula Mohd Shukri Ramli (Sanglang) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), manakala Bebas pula ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim.

Pada majlis pagi ini, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang juga ADUN Bintong mendahului senarai 15 ADUN mengangkat sumpah sebelum diikuti lapan ADUN Barisan Nasional (BN), tiga ADUN PH, dua ADUN PAS dan seorang ADUN Bebas.

Terdahulu, Datuk Hamdan Bahari dilantik sekali lagi sebagai Speaker DUN Perlis bagi penggal kedua.

Beliau mengangkat sumpah memegang jawatan itu selepas pelantikannya dicadangkan Azlan dan disokong ADUN Chuping, Asmaiza Ahmad.

Persidangan Penggal Pertama DUN Perlis ke-14 dijadual berlangsung mulai Isnin ini selama tiga hari dan bakal dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:16 PM