PASUKAN penyelamat Mesir melihat kenderaan rosak susulan banjir dahsyat di Derna, Libya. FOTO Reuters
PASUKAN penyelamat Mesir melihat kenderaan rosak susulan banjir dahsyat di Derna, Libya. FOTO Reuters
Agensi

Kaherah: Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi pada Rabu mengarahkan pihak berkuasa untuk menubuhkan kem di barat negara itu, untuk menyediakan tempat berteduh bagi mangsa banjir yang memusnahkan negara jiran Libya, lapor AFP yang memetik media kerajaan.

Sisi mengarahkan penubuhan kem perlindungan di wilayah pantai barat yang bersempadan dengan Libya dengan pengumumannya: "Untuk saudara-saudara kami Libya yang terjejas yang kehilangan tempat tinggal", menurut akhbar rasmi Al-Ahram.

Bernama yang memetik laporan agensi berita Xinhua melaporkan angka kematian akibat banjir dahsyat yang melanda timur Libya meningkat kepada 5,500 orang, manakala 7,000 lagi cedera.

AFP yang memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyatakan sekurang-kurangnya 30,000 mangsa kehilangan tempat tinggal di Derna, selepas hujan lebat Ribut Daniel menenggelamkan seluruh kawasan kejiranan di bandar itu.

Bantuan berupa penubuhan kem itu tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah Mesir, malah baru-baru ini, Kaherah berulang kali menolak untuk mendirikan kem dalam menghadapi krisis pelarian serantau.

Terbaru, lebih 280,000 orang melarikan diri dari perang di Sudan dan merentasi sempadan selatan Mesir, tetapi Kaherah berkata, tiada keperluan untuk kem pelarian kerana pendatang baharu diberi hak untuk bekerja dan bergerak dengan bebas.

Mesir, pada Selasa, menghantar tiga pesawat kargo tentera ke Libya yang membawa pasukan mencari dan menyelamat dan bantuan termasuk bekalan perubatan dan khemah, menurut jurucakap tentera.

Pihak berkuasa Libya pada Selasa berkata, mayat 145 rakyat Mesir yang terkorban dalam banjir itu sudah diangkut merentasi sempadan.

Dalam pada itu, Bernama dalam laporan lain yang memetik dpa melaporkan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) akan menghantar pasukan kecemasan ke Libya.

"Pasukan kecemasan terdiri daripada ahli logistik dan pekerja perubatan sedang dihantar ke Derna, dan akan tiba di bandar itu untuk menilai keperluan perubatan," kata organisasi itu dalam satu hantaran di media sosial pada Rabu.

Pasukan itu dijangka akan "menilai keperluan perubatan dan menderma kit kecemasan untuk menjaga yang cedera, dan beg mayat kepada Bulan Sabit Merah Libya," tambah MSF.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2023 @ 2:39 PM