AZLAN menjunjung amanah diberikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang memberikan kepercayaan kepada dirinya untuk menerajui kerajaan Perlis untuk penggal kedua. FOTO Amran Hamid
AZLAN menjunjung amanah diberikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang memberikan kepercayaan kepada dirinya untuk menerajui kerajaan Perlis untuk penggal kedua. FOTO Amran Hamid
Muhammad Mustakim Ramli dan Aizat Sharif


MENTERI Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man akan bertemu kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi mendapatkan pandangan dan panduan mengenai perlantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), selepas ini.

Azlan yang mengangkat sumpah jawatan itu untuk penggal kedua hari ini berkata, beliau akan berbincang dengan pemangku Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan timbalan beliau Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi mendapatkan pandangan dan panduan berkenaan perlantikan EXCO Perlis.

Ini susulan tindakan sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN negeri itu memboikot Majlis Istiadat dan Angkat Sumpah Menteri Besar Perlis di Istana Arau, Arau, hari ini.

Azlan berkata, beliau akan mendapatkan pandangan kepemimpinan BN bagi memastikan segala kerja dan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan.

“Saya perlu bertemu dengan mereka (Zahid dan Hishammuddin) untuk mendapatkan pandangan dan panduan berkenaan perlantikan Exco negeri Perlis kali ini.

“Dalam pertemuan itu, saya akan memberikan pandangan terhadap formula terbaik yang membolehkan perlantikan barisan exco itu dapat dijalankan untuk membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Katanya, beliau menjunjung amanah diberikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang memberikan kepercayaan kepada dirinya untuk menerajui kerajaan Perlis untuk penggal kedua.

“Pada saya, ini adalah amanah serta tanggungjawab besar untuk menjalankan tugas sebagai Menteri Besar kerana kita tahu Perlis kini sudah menjadi negeri pembangkang.

“Oleh hal demikian, segala agenda pembangunan yang dititahkan oleh Tuanku (Raja Perlis) akan diteruskan supaya dapat memberikan faedah kepada rakyat.

“Saya mengharapkan agar mendapat sokongan daripada semua ADUN terutama BN untuk membantu melaksanakan agenda pembangunan rakyat di negeri ini,” katanya.

Azlan turut mengulas bahawa meskipun Perlis kini menjadi negeri pembangkang, beliau akan melakukan kunjungan hormat bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan bantuan serta peruntukan dapat disalurkan kepada rakyat Perlis.

“Ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum ini ketika BN menjadi kerajaan di peringkat pusat pun ada kerajaan negeri pembangkang yang turut datang mengadakan kunjungan hormat.

“Ini perlu dilakukan kerana sudah menjadi tanggungjawab kerajaan di peringkat pusat untuk memastikan kemashalatan rakyat terus mendapat tumpuan dan dalam soal ini, saya yakin rakyat Perlis tidak akan dianak tirikan kerana Perlis sebahagian daripada negara ini,” katanya.

Pada masa sama, Azlan akur dengan tindakan kerajaan Pusat memansuhkan pelbagai agensi yang pernah diwujudkan ketika kerajaan terdahulu memerintah seperti Majlis Profesor Negara (MPN), Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) semalam, kerana kerajaan negeri seperti Perlis mempunyai kekangan berikutan sumber ekonomi sangat terhad.

Berita berkaitan

'Kami tolak Azlan Man jadi MB'

'[UPDATE] Raja Perlis murka'

'Azlan Man MB Perlis, 9 ADUN BN tak hadir'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mei 2018 @ 3:34 PM