PUTERA Mohammed bin Salman. FOTO Reuters
PUTERA Mohammed bin Salman. FOTO Reuters
Reuters

Riyadh: Putera Mahkota Arab Saudi menegaskan operasi anti-rasuah menyaksikan ratusan putera, menteri dan bekas menteri serta ahli perniagaan terkemuka ditahan, perlu bagi menampung sasaran bajet dan menggelar tindakan itu sebagai rawatan kimoterapi untuk barah.

Dalam temuramah dengan Washington Post yang disiarkan semalam, Putera Mohammed bin Salman berkata: “Tubuh anda ada barah di merata-rata, rasuah seperti barah.

“Anda perlu menjalani kimoterapi atau barah itu akan memakan tubuh anda.

“Putera yang korup adalah minoriti dan mereka yang bersikap buruk mendapat perhatian. Ia menjejaskan keluarga diraja,” katanya.

Antara yang ditahan, termasuk bilioniar Alwaleed bin Talal yang dibebaskan selepas mencapai persetujuan kewangan dengan kerajaan yang dianggarkan berbilion ringgit.

Menurut peguam negara, 56 orang masih ditahan dan mereka dipercayai dipindahkan dari Hotel Ritz-Carlton di Riyadh ke penjara selepas enggan mengakui kesalahan. Kes mereka mungkin dibicarakan di mahkamah.

Hanya sebahagian kecil tuduhan terhadap mereka yang ditahan diumumkan, manakala maklumat penyelesaian kewangan, termasuk pembayaran dan pemindahan aset serta syarikat kepada negara tidak dinyatakan.

Jumlah wang dan aset yang mahu dikutip kerajaan daripada mereka yang ditahan akan meningkatkan pendapatan negara yang kini terjejas akibat kejatuhan harga minyak.

Arab Saudi menjangka defisit belanjawan tahun ini dianggar 195 billion riyal (RM204 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 6:07 AM