PUTERA Al-Waleed ketika ditemu bual di tempat dia ditahan di Ritz-Carlton di Riyadh, Arab Saudi. FOTO Reuters
PUTERA Al-Waleed ketika ditemu bual di tempat dia ditahan di Ritz-Carlton di Riyadh, Arab Saudi. FOTO Reuters
AFP

Riyadh: Bilionair Arab Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal memaafkan penahanannya selama tiga bulan dalam operasi membanteras rasuah negara itu serta menolak spekulasi asetnya dilucutkan hak sebagai bayaran pembebasannya.

Beliau juga menafikan laporan diseksa atau dilayan tidak sewajarnya sepanjang penahanannya di Hotel Ritz-Carlton.

“Saya tidak pernah diseksa. Doktor datang dua kali sehari.

“Kami diberi perkhidmatan terbaik, makanan terbaik, semuanya terbaik,” katanya dalam temuramah dengan Bloomberg News yang disiarkan semalam.

Al-Waleed dibebaskan awal Januari lalu, selepas persetujuan penyelesaian sejumlah wang dengan kerajaan yang tidak dinyatakan jumlahnya.

“Saya bukan orang yang akan berkata, saya maafkan, namun tidak akan melupakannya.

“Saya berkata, saya maafkan dan saya lupakan,” katanya.

Menurutnya, perniagaan syarikatnya berjalan seperti biasa, termasuk meneruskan pelaburan di Arab Saudi.

“Saya dilahirkan di Arab Saudi, saya akan mati di Arab Saudi,” katanya yang enggan memberitahu syarat pembebasannya.

Namun, menurutnya syarat ‘perjanjian sulit dan rahsia’ itu membolehkannya kembali dengan ‘tiada langsung rasa bersalah’.

Al-Waleed ialah tahanan berprofil paling tinggi dalam kalangan 250 orang yang ditahan sejak 4 November atas arahan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, termasuk ahli perniagaan terkemuka dan menteri. Mereka ditempatkan di hotel mewah Ritz-Carlton di Riyadh.

Sebelum ini, pegawai Arab Saudi memberitahu AFP, Al-Walled, antara orang terkaya dunia dibebaskan selepas mencapai persetujuan pembayaran yang turut membabitkan tahanan lain bagi pembebasan mereka.

Tiada jumlah dinyatakan namun Peguam Negara, Sheikh Saud al-Mojeb, berkata, AS$107 bilion (RM407 bilion) berjaya dikumpul melalui operasi itu, meliputi harta, saham dan wang tunai.

Al-Waleed menegaskan beliau masih menguasai syarikatnya, Kingdom Holding.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:58 AM