Riyadh: Bilionair Arab Saudi Putera Al-Waleed bin Talal mengundang pujian dan kecaman di media sosial selepas dilapor menawar 100 kereta mewah kepada 100 juruterbang jet pejuang negara itu yang mengambil bahagian dalam kempen serangan ke atas Yaman.

Arab Saudi Selasa lalu mengumumkan menamatkan fasa pertama kempen serangan udara di Yaman yang menyasarkan pemberontak Houthi untuk menghalang mereka menguasai negara itu.

Menyahut pengumuman itu, Al-Waleed dilapor menulis kepada 3.1 juta pengikut Twitternya: “Sebagai menghargai peranan mereka dalam operasi itu, saya dengan berbesar hati menawarkan 100 kereta Bentley untuk 100 juruterbang Arab Saudi.”

Kenyataan itu yang dipadam tidak lama kemudian, dikongsi 28,000 pengikutnya dan lebih 5,000 menyukainya.

Bagaimanapun, beberapa media Saudi mendakwa, Al-Waleed tidak membuat kenyataan itu, sebaliknya melaporkan akaun bilionair itu digodam.

Meskipun sebahagian rakyat Saudi berkata juruterbang berkenaan berhak menerima kereta mewah yang ditawarkan itu dan lebih banyak lagi ganjaran kerana pengorbanan mereka, ada juga yang tidak menyambut baik tawaran yang dilaporkan atas alasan serangan yang dilancarkan itu membawa lebih banyak kemusnahan dan mencetuskan lebih banyak krisis kemanusiaan di Yaman. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:01 AM