PEGAWAI menunjukkan beberapa haiwan termasuk anak penyu dan buaya yang cuba diseludup keluar di lapangan terbang di Jakarta. - kompas.com
PEGAWAI menunjukkan beberapa haiwan termasuk anak penyu dan buaya yang cuba diseludup keluar di lapangan terbang di Jakarta. - kompas.com
Agensi

Jakarta: Seorang lelaki warga Arab Saudi ditahan selepas cuba menyeludup keluar puluhan penyu, ular, cicak, buaya dan haiwan lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini.

Pengarah Pusat Kuarantin Pertanian lapangan terbang, Eliza Suryati Roesli berkata, lelaki itu ditahan ketika mahu menaiki penerbangan di Terminal 3, Rabu lalu.

“Ketika di pintu berlepas, pegawai keselamatan curiga melihat empat bagasi yang dibawa lelaki berkenaan.

“Apabila bagasi itu diperiksa, kami menemui puluhan anak haiwan dilindungi yang dibalut dengan plastik di dalam bagasi itu,” katanya yang dipetik kompas.com.

Ujarnya, haiwan itu terdiri daripada 65 anak penyu, sembilan ular, lima cicak, 10 buaya, empat wesel dan lapan lintah.

“Dua daripada penyu dan tiga wesel itu ditemui mati,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa percaya lelaki itu mahu menyeludup keluar haiwan dilindungi berkenaan untuk dijual di luar negara.

Katanya, lelaki itu ditahan untuk siasatan lanjut dan bakal didakwa kerana cuba menyeludup keluar haiwan yang dilindungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2017 @ 3:21 AM