Pas masuk pesawat (atas kanan) jelas tertera destinasi Stansted, United Kingdom. Gambar fail (bawah kanan) Jankowsky bersama Monique dan anak lelaki Aston, 6, dan Thalia berusia setahun. FOTO Agensi
Pas masuk pesawat (atas kanan) jelas tertera destinasi Stansted, United Kingdom. Gambar fail (bawah kanan) Jankowsky bersama Monique dan anak lelaki Aston, 6, dan Thalia berusia setahun. FOTO Agensi
Agensi

AHLI perniagaan Britain Samuel Jankowsky sepatutnya pulang ke rumah di Essex dekat London sebaliknya mendapati pesawat yang dinaikinya mendarat di Las Vegas iaitu lebih 13,500 kilometer (km) dari destinasi asal.

Jankowsky yang dijadualkan terbang ke Stansted, United Kingdom selepas urusan kerja di Cologne, Germany yang jaraknya hanya 495 km, menyedari tidak berada dalam pesawat Eurowings yang betul sebaik sahaja tersedar dari tidur selepas melihat laluan penerbangan yang dipaparkan skrin dalam kabin.

Dia mendakwa pas masuknya sudah diperiksa sebanyak tiga kali sebelum memasuki pesawat syarikat penerbangan terbabit.

Dalam keadaan ketakutan dan tidak keharuan, dia menghantar mesej WhatsApp menggunakan WiFi kabin dengan bayaran 12 Euro (RM61) kepada isterinya, Monique, 25, yang sedang sarat mengandung tujuh bulan sebelum mendarat di Las Vegas pada 30 Jun lalu.

“Saya hanya sedar apabila melihat paparan laluan pesawat yang sudah melepasi United Kingdom,” dakwanya sambil menunjukkan tiket pas masuk yang jelas tertera destinasi Lapangan Terbang London Stansted.

Nasib malangnya berterusan apabila mendakwa dilayan seperti penjenayah oleh Imigresen Amerika Syarikat (AS) sebaik sahaja mendarat kerana didakwa tidak memiliki visa.

Katanya, pegawai imigresen AS menuduhnya menyelinap masuk ke pesawat berkenaan dengan membayar tambang lebih murah untuk ke negara berkenaan.

“Mereka memberi masa saya sejam untuk menyiapkan dokumen untuk kembali ke Cologne jika tidak saya ditahan sehingga 4 Julai untuk penerbangan seterusnya.

“Saya disumbat ke dalam bilik kecil dan diperiksa sepenuhnya,” katanya.

Dia juga mendakwa dilayan buruk oleh kru Eurowings sepanjang penerbangan pulang ke Cologne selepas itu.

Dia akhirnya diterbangkan kembali ke Cologne, Jerman tetapi mendakwa dihalang oleh Eurowings untuk terus pulang ke Essex sebaliknya terpaksa ke Stuggart untuk penerbangan seterusnya ke United Kingdom.

Jankowsky dari Basildon, Essex, yang ‘mengembara’ lebih 26,000 km itu berkata: “Apabila saya masuk ke dalam pesawat, saya ada terfikir yang pesawat itu terlalu besar untuk penerbangan yang dekat, tapi saya tak peduli selepas itu sebelum saya pakai alat pendengar dan tidur.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 9:07 AM