Helikopter tentera udara Afganistan. Foto Agensi
Helikopter tentera udara Afganistan. Foto Agensi
Agensi

Kabul: Seorang juruterbang tentera udara Afghanistan maut dalam ledakan bom di sini, semalam.

Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan yang mengorbankan Hamidullah Azimi, selepas bom yang diletakkan pada kenderaan digunakannya meledak.

Lima orang awam turut cedera dalam kejadian itu.

Komandan pasukan, Abdul Fatah Eshaqzai mengatakan, Azimi biasa menerbangkan helikopter UH60 Black Hawk buatan Amerika Syarikat (AS).

Juruterbang berkenaan sudah bertugas bersama tentera udara Afghanistan hampir empat tahun.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Muhajid mengatakan, pihaknya mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Taliban sebelum ini juga pernah menegaskan akan mensasarkan serangan mereka terhadap juruterbang tentera udara yang berada di luar pangkalan.

Hingga kini, tujuh juruterbang tentera udara Afganistan menjadi sasaran pembunuhan.

Juruterbang yang menjadi sasaran Taliban itu merupakan lulusan program pendidikan AS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 12:32 PM