TENTERA Afghanistan memeriksa orang ramai di sebuah pos kawalan di lebuh raya menuju ke Kandahar, di mana 43 askar terbunuh, semalam. - EPA
TENTERA Afghanistan memeriksa orang ramai di sebuah pos kawalan di lebuh raya menuju ke Kandahar, di mana 43 askar terbunuh, semalam. - EPA

Kabul: Sekurang-kurangnya 43 askar terbunuh dalam serangan berani mati oleh Taliban di pangkalan tentera di selatan Afghanistan, semalam, serangan ketiga seumpamanya membabitkan premis keselamatan minggu ini.

Cuma dua askar dipercayai terselamat dalam serangan di pangkalan yang terletak di Chashmo, Maiwand, wilayah Kandahar, kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sembilan askar cedera dan enam masih belum ditemui.

Jurucakap kementerian, Dawlat Waziri berkata, penyerang meletupkan sekurang-kurangnya satu Humvee diisi letupan sebelum membakar lokasi itu dalam serangan dilancarkan pada waktu Subuh.

“Kami percaya mereka menggunakan Humvee berisi letupan untuk meletupkan pintu pagar ke pangkalan berkenaan dan kini menyiasat sama ada mereka menggunakan lebih daripada satu kenderaan.

“Malangnya, tiada apa yang ditinggalkan di dalam kem berkenaan. Mereka membakar segala-galanya,” katanya.

Taliban mengakui melaksanakan serangan itu dalam pesanan kepada wartawan yang mendakwa semua 60 anggota keselamatan di lokasi itu terbunuh. Sepuluh anggotanya dipercayai turut mati dalam kejadian itu.

Ia serangan berani mati ketiga membabitkan letupan dan penembak terhadap lokasi keselamatan minggu ini dengan jumlah kematian keseluruhan lebih 120 orang, merangkumi polis, askar serta orang awam.

Serangan menggunakan kaedah sama iaitu Humvee dipenuhi letupan yang digunakan untuk merempuh masuk ke tempat disasarkan.

Selasa lalu, dua serangan di tenggara Afghanistan membunuh 80 orang dan mencederakan hampir 300 yang lain. Serangan paling teruk dilaksanakan di pekarangan polis di Gardez, wilayah Paktia apabila militan menyamar sebagai polis meletupkan tiga kenderaan diisi letupan sebelum 11 lelaki bersenjata merempuh masuk.

Sekurang-kurangnya 60 orang termasuk Ketua Polis Paktia Toryalai Abdyani dan orang awam yang menunggu mengambil dokumen terbunuh manakala 230 yang lain cedera. Serangan kedai di Ghazni membunuh 20 orang, manakala 46 cedera. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 4:23 AM