ARIF Havas Oegroseno menunjukkan lokasi Laut Natuna Utara di peta baru Indonesia di Jakarta semalam. - Reuters
ARIF Havas Oegroseno menunjukkan lokasi Laut Natuna Utara di peta baru Indonesia di Jakarta semalam. - Reuters

Jakarta: Kerajaan Indonesia semalam menamakan semula bahagian utara perairan di Zon Ekonomi Eksklusif negara itu di Laut China Selatan sebagai Laut Natuna Utara.

Ketika mengumumkan peta rasmi Indonesia yang baru, Timbalan Menteri Hal Ehwal Maritim, Arif Havas Oegroseno memberitahu, kawasan itu mempunyai aktiviti gas dan minyak.

“Kami mahu mengemaskini nama laut itu dengan memberi nama baru iaitu Laut Natuna Utara. Ini selaras dengan amalan biasa,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis melihat langkah Indonesia itu sebagai satu tindak balas terhadap tuntutan China di keseluruhan Laut China Selatan.

Menamakan kawasan laut itu menunjukkan kedaulatan Indonesia di sebahagian wilayah yang dituntut China.

Beberapa negara termasuk Filipina dan Malaysia mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan hingga mencetuskan ketegangan di wilayah berkenaan.

China juga membina pulau buatan dan pangkalan tentera di wilayah itu bagi mengukuhkan tuntutan negara itu.

Indonesia menegaskan tidak mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan tetapi bertelagah dengan China berhubung hak menangkap ikan di sekitar kepulauan Natuna. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2017 @ 4:24 AM