JURUTERBANG jet pejuang Sukhoi tentera udara Indonesia berjalan selepas menyertai latihan ketenteraan di Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, kelmarin. - Reuters
JURUTERBANG jet pejuang Sukhoi tentera udara Indonesia berjalan selepas menyertai latihan ketenteraan di Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, kelmarin. - Reuters
Reuters

Jakarta: Angkatan Udara Tentera Nasional Indonesia mengadakan latihan ketenteraan terbesar pasukan itu minggu ini berhampiran kepulauan Natuna di Laut China Selatan.

Tentera udara berkata, latihan itu bagi menunjukkan kedaulatan Indonesia di kawasan kepulauan yang turut menjadi pertikaian dengan China.

Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada Jun lalu melancarkan kempen meningkatkan aktiviti perikanan, penerokaan minyak dan kemudahan pertahanan di kepulauan Natuna.

Kempen itu dilancarkan selepas berlaku beberapa insiden antara tentera laut Indonesia dengan kapal nelayan China.

Walaupun China tidak menuntut kepulauan Natuna tetapi Beijing menimbulkan kemarahan Jakarta apabila mendakwa kedua-dua negara ada tuntutan bertindih di perairan berhampiran pulau itu.

“Kami mahu menunjukkan kewujudan kami di kawasan itu. Kami mempunyai angkatan udara yang cukup baik untuk bertindak sebagai penghalang,” kata jurucakap tentera udara, Jemi Trisonjaya.

Menurutnya, lebih 2,000 anggota mengambil bahagian dalam latihan selama dua minggu itu yang turut disertai jet pejuang Sukhoi dan F-16.

Cabang lain angkatan tentera Indonesia tidak menyertai latihan itu yang tamat esok. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2016 @ 7:45 AM