TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Maritim Indonesia, Arif Havas Oegroseno menunjukkan lokasi perairan Natuna pada 14 Julai 2017. FOTO REUTERS/Beawiharta
TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Maritim Indonesia, Arif Havas Oegroseno menunjukkan lokasi perairan Natuna pada 14 Julai 2017. FOTO REUTERS/Beawiharta
Reuters

TENTERA Udara Indonesia mengerahkan empat jet pejuangnya ke Laut China Selatan susulan pertikaian dengan Beijing selepas negara itu membantah pelanggaran China terhadap zon ekonomi eksklusifnya.

Pertikaian bermula pertengahan Disember lalu selepas kapal pengawal pantai China mengiringi kapal nelayan negara memasuki perairan di kepulauan Natuna di utara Indonesia, yang menyebabkan Jakarta memanggil segera duta besar Beijing.

Isu ini menjejaskan hubungan dua hala Indonesia dengan China, rakan dagangan terbesar dan pelabur utama bagi negara terbesar di Asia Tenggara itu.

Jurucakap tentera udara Indonesia, Fajar Adriyanto berkata, empat jet F-16 sudah melakukan penerbangan ke pulau berkenaan.

“Mereka melakukan rondaan biasa untuk melindungi kawasan kedaulatan kita, jadi mereka melakukan rondaan di Natuna.

“Kami bukan menerima arahan untuk memulakan peperangan dengan China,” kata Adriyanto.

China menuntut Laut China Selatan, laluan perdagangan antarabangsa yang kaya dengan ikan dan rizab minyak sebagai miliknya namun negara Asia Tenggara dan Amerika Syarikat menyifatkan tuntutan China itu tidak berasas dari segi undang-undang.

Semalam, Indonesia sudah mengerah kapal nelayannya ke wilayah utara Natuna serta beberapa kapal angkatan lautnya.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang berkata, Beijing ‘membuka saluran diplomatik’ dengan Indonesia sejak insiden terbaharu berkenaan.

“Kedua-dua negara bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Laut, Agensi Keselamatan Maritim Indonesia, Nursyawal Embun berkata, belum ada sebarang rundingan dengan kapal China sehingga hari ini.

Berdasarkan laman web pengesan kapal Maritime Traffic, sekurang-kurangnya dua kapal China (Zhongguohaijing dan Haijing 35111) berada di Zon Ekonomi Ekslusif kira-kira 200 kilometer (km) dari Kepulauan Riau di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 9:55 PM