IMEJ Google Maps
IMEJ Google Maps
Reuters

Jakarta: Indonesia menghantar kapal perangnya ke Natuna Barat untuk memantau kapal pengawal pantai China yang aktif di kawasan perairan berkenaan, kata ketua angkatan laut negara itu, pada Sabtu.

Data penjejak kapal menunjukkan kapal CCG 5901 belayar di Laut Natuna, berhampiran blok medan minyak dikenali sebagai Tuna Bloc dan medan minyak dan gas Chim Sao milik Vietnam, sejak 30 Disember, menurut Inisiatif Keadilan Lautan Indonesia kepada Reuters.

Kapal perang, pesawat peronda maritim dan dron dihantar untuk memantau kapal berkenaan, kata ketua tentera laut Indonesia, Laksamana Madya Muhammad Ali, kepada Reuters.

"Kapal China tidak melakukan seberang aktiviti mencurigakan," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya perlu memantau situasi itu memandangkan kapal berkenaan berada di dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) untuk beberapa ketika.

Jurucakap Kedutaan China di Jakarta tidak memberikan komen segera mengenai perkara itu.

Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Undang-undang Laut (Unclos) memberikan kebenaran untuk kapal berlayar melalui EEZ.

Aktiviti itu selepas perjanjian EEZ antara Indonesia dan Vietnam, serta selepas Indonesia meluluskan usaha membangun medan minyak Tuna di Laut Natuna, dengan pelaburan bernilai AS$3 bilion (kira-kira RM13 bilion) untuk memulakan pengeluaran.

Indonesia yang menjadi negara terbesar Asia Tenggara berkata, di bawah Unclos, hujung selatan Laut China Selatan adalah zon ekonomi eksklusif dan menamakannya sebagai Laut Natuna Utara pada 2017.

China menolak pandangan ini dengan mengatakan kawasan itu termasuk dalam kawasan dituntutnya di Laut China Selatan yang ditanda dengan bentuk U 'Nine Dash Line' atau Sembilan Garis Putus.

Kawasan tuntutan itu bagaimanapun didapati tidak mempunyai asas undang-undang oleh Mahkamah Tetap untuk Timbang Tara di The Hague, Belanda pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2023 @ 12:40 PM