Manila: Sekurang-kurangnya seorang maut dan beberapa lagi mangsa dipercayai terperangkap dalam runtuhan bangunan selepas gempa bumi berkekuatan 6.5 magnitud melanda tengah Filipina semalam.

Pasukan penyelamat bergegas ke bandar Kananga, tempat sebuah bangunan tiga tingkat runtuh akibat gempa yang melanda pulau Leyta, kata Datuk Bandar Rowena Codilla.

“Pasukan penyelamat mengeluarkan mayat seorang mangsa dan seorang lagi yang cedera,” katanya kepada stesen radio DZBB.

Menurutnya, gegaran susulan dan kekurangan peralatan menjejaskan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih terperangkap.

Codilla memberitahu, pihak berkuasa tidak tahu berapa ramai mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan bangunan itu.

Tambahnya, bangunan berusia 10 tahun itu menempatkan hotel kecil ditingkat atas dan kedai di tingkat bawah.

“Kawasan lain di bandar ini tidak mengalami kerosakan teruk,” jelasnya.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa dikesan pada kedalaman enam kilometer.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberitahu tiada amaran tsunami dikeluarkan. - Reuters

Sebahagian besar Leyta musnah akibat taufan super Haiyan pada November 2013 yang menyebabkan ribuan mangsa maut atau hilang. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 10:53 AM