GEMPA cetek itu berlaku 44 kilometer di timur laut di Papua New Guinea. FOTO: AFP
GEMPA cetek itu berlaku 44 kilometer di timur laut di Papua New Guinea. FOTO: AFP
AFP

KOKOPO: Gempa kuat dengan magnitud 7.5 melanda pesisiran pantai Papua New Guinea, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) yang turut memberi amaran kemungkinan berlaku tsunami.

Gempa cetek itu berlaku 44 kilometer di timur laut di Papua New Guinea, kata USGS.

Pengarah Urusan pusat peranginan Ropopo Plantation di Kokopo, Megan Martin berkata: “Gempa yang sangat kuat. Amat menakutkan.”

Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata: “Berdasarkan parameter gempa bumi awal, ombak tsunami yang berbahaya mungkin berlaku di pesisiran yang terletak dalam 1,000 kilometer dari pusat gempa.

“Agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap kawasan pesisiran pantai yang terancam patut mengambil tindakan memaklumkan dan mengeluarkan arahan kepada penduduk yang berisiko, mengikut prosedur penilaian sendiri serta tahap ancaman.”

Pusat gempa dilaporkan di dalam Lingkaran Api Pasifik iaitu kawasan yang sering melihat aktiviti seismik.

Pada Februari tahun lalu, gempa dengan magnitud 7.5 melanda Papua New Guinea menyebabkan 150 orang terbunuh dan ratusan bangunan musnah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2019 @ 10:38 PM