PENGGUNA jalan raya mengelak tiang elektrik yang hampir tumbang akibat gempa bumi. - EPA
PENGGUNA jalan raya mengelak tiang elektrik yang hampir tumbang akibat gempa bumi. - EPA
Agensi

Manila: Gempa bumi kuat pada waktu malam yang melanda selatan Filipina pada lewat Jumaat menyebabkan sekurang-kurangnya enam orang maut dan lebih 120 cedera.

Gempa magnitud 6.5 itu mengejutkan penduduk yang sedang tidur di wilayah Surigao del Norte menyebabkan ratusan orang bertempiar menyelamatkan diri.

Pusat gempa terletak 14 kilometer di barat laut ibu negeri wilayah, Surigao, dengan kedalaman cuma 10 kilometer, kata Renato Solidum dari Institut Seismologi dan Volkanologi Filipina.

Hampir 100 gempa susulan dirasai selepas itu, namun kebanyakan penduduk sudah pulang ke kediaman masing-masing, semalam.

Setiausaha Kebajikan,
Judy Taguiwalo berkata, pihak berkuasa masih menilai kerosakan di Surigao dan bandar berhampiran.

Sekurang-kurangnya enam maut, ada antara mereka dihempap dinding konkrit dan puing bangunan, kata pegawai tindak balas bencana wilayah, Gilbert Gonzales.

“Seorang lelaki diselamatkan dari runtuhan rumahnya, tetapi meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital,” katanya.

Rakaman televisyen menunjukkan keretakan teruk pada kebanyakan bangunan selain tingkap pecah dan tempat meletak kereta dipenuhi puing bangunan.

Anggota penyelamat turut berusaha memecahkan konkrit di beberapa kawasan untuk memastikan tiada mangsa terperangkap di bawah.

Lapangan terbang bandar itu ditutup sementara kerana retakan teruk pada landasan.

Gempa bumi terakhir melanda Surigao pada 1800-an.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 6:02 AM