PASUKAN mencari dan menyelamat mengesan mangsa yang terperangkap bawah runtuhan akibat gempa bumi di Mamuju, Indonesia. FOTO AFP
PASUKAN mencari dan menyelamat mengesan mangsa yang terperangkap bawah runtuhan akibat gempa bumi di Mamuju, Indonesia. FOTO AFP
AFP

Mamuju: Susulan gempa bumi kuat yang melanda Kepulauan Sulawewi awal pagi semalam, pihak berkuasa mengesahkan seramai 45 individu ditemukan maut setakat ini.

Pasukan penyelamat kini sedang berusaha melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus, hari ini.

Gempa bumi berukuran 6.2 mangnitud itu mengorbankan 45 individu setakat ini dan mencederakan ratusan yang lain manakala pihak berkuasa yakin lebih ramai mangsa terperangkap bawah runtuhan bangunan.

Puluhan mayat sudah dikeluarkan dari timbunan runtuhan bangunan di bandar Mamuju yang terletak di wilayah Sulawesi Barat, manakala mangsa lain terkorban di bahagian selatan kawasan terbabit.

"Data terkini yang kami peroleh ialah 45 maut," kata Arianto daripada agensi penyelamat di Mamuju.

Angka korban itu meningkat berbanding 42 mangsa pada petang semalam.

Pihak berkuasa sehingga kini belum memberikan jumlah penduduk yang berkemungkinan terperangkap bawah runtuhan bangunan termasuklah sebuah hospital.

Menurut pihak berkuasa, kira-kira 15,000 penduduk kini berada di pusat perlindungan sementara dan hampir 190 mangsa yang parah dalam insiden itu sedang dirawat.

Agensi meteorologi memberi amaran bahawa kawasan terbabit boleh dilanda gempa susulan yang kuat, sekali gus menasihati penduduk supaya menjauhi kawasan pantai kerana dikhuatiri tercetus tsunami.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 12:43 PM