Poster mengenai ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang dikeluarkan FBI (Foto AP) manakala gambar kanan, antara kemunculan Isnilon di You Tube.
Poster mengenai ketua Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon, yang dikeluarkan FBI (Foto AP) manakala gambar kanan, antara kemunculan Isnilon di You Tube.
AFP

OPERASI bagi menahan ketua kumpulan militan Abu Sayyf, Isnilon Hapilon, 51, di Marawi, Mindanao, Selasa lalu, sepatutnya berjalan lancar namun tiba-tiba pasukan khas tentera Filipina dikepung anggota militan menyebabkan pertempuran tercetus membawa kepada ‘perang’ sehingga hari ini.

Kini, Marawi dipenuhi kenderaan berperisai tentera, helikopter dan anggota tentera lengkap bersenjata bagi menawan kembali sebahagian besar bandar itu yang dikuasai militan manakala ribuan penduduk melarikan diri.

Tentera sebelum ini yakin akan berjaya menahan atau membunuh Isnilon yang dianggap antara pengganas paling bahaya di dunia dengan Amerika Syarikat menawarkan ganjaran AS$5 juta terhadapnya - hidup atau mati.

Sejak hujung tahun lalu, tentera Filipina menggempur militan Abu Sayyaf di kawasan pergunungan dan hampir berjaya membunuhnya ketika pengeboman Januari lalu.

Baru-baru ini, tentera Filipina mendapat maklumat Isnilon yang cedera, ke Marawi untuk rawatan dan bersembunyi dalam sebuah apartmen. Satu pasukan kecil tentera dihantar untuk menahan atau membunuhnya.

Namun, mereka terkejut apabila dikelilingi puluhan militan yang melindungi Isnilon, lalu berlaku pertempuran yang membawa kepada ‘perang’ yang diketuai kumpulan militan Maute, penyokong kuat Negara Islam (IS).

“Ketika menggempur mereka di pergunungan, kami tidak sedar ada militan memasuki Marawi," katra Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana di Manila, hari ini.

Menurutnya, ramai militan mempunyai saudara-mara di Marawi yang memberi kerjasama, termasuk melindungi militan serta mungkin memaklumkan kehadiran pasukan tentera terbabit.

Sehingga kini, sudah 21 terbunuh iaitu tujuh tentera, 13 militan dan seorang penduduk. Selurun Mindanao, pulau kedua terbesar Filipina kini di bawah undang-undang tentera.

Kerajaan menganggap Isnilon sebagai orang yang boleh menyatukan kumpulan kecil militan menjadi pertubuhan besar.

Abu Sayyaf yang ditubuhkan pada awal 1990-an hasil pembiayaan Al-Qaeda, terkenal dengan kegiatannya menculik warga asing, termasuk rakyat Malaysai dan Indonesia untuk wang tebusan.

Pada 2001, Isnilon mengetuai penculikan rakyat Barat di barat Filipina. Dua tebusan Amerika mati, seorang daripadanya dipenggal kepala.

Abu Sayyaf juga dipercayai terbabit dalam beberapa serangan, termasuk pengeboman feri di Manila pada 2004, membunuh 116 orang.

Pada 2004, Isnilon, lulusan kejuruteraan dari University of the Philippines, muncul pertama kali di You Tube sebagai ketua Abu Sayyaf.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2017 @ 8:01 PM