Agensi

TENTERA Filipina yakin seorang daripada Maute bersaudara yang mengetuai militan Maute menawan Marawi di Mindanao, sudah terbunuh.

Philstar.com melaporkan, jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Restituto Padilla, berkata ada petunjuk seorang daripada dua beradik itu sudah mati namun enggan mengesahkannya sehingga mayat ditemui.

“Mengenai kematian keluarga Maute, ada petunjuk seorang daripada mereka sudah mati namun sehingga mayat atau kuburnya ditemui, kami tidak mahu mengesahkannya,” katanya di Manila, hari ini.

Militan Muate diketuai dua beradik, Omar dan Abdullah Maute, bersama-sama kumpulan Abu Sayyaf diketuai Isnilon Hapilon melafazkan ikrar menyokong Negara Islam (IS).

Kira-kira 500 militan mereka menawan Marawi, bandar terbesar Mindanao pada 23 Mei lalu. Selepas enam minggu, lebih 400 orang terbunuh di Marawi, termasuk 353 militan, 87 tentera dan polis dan 39 orang awam manakala lebih 260,000 penduduk meninggalkan bandar itu.

Mengenai Isnilon, Padilla berkata, pihaknya percaya ketua Abu Sayyaf itu masih berada di Marawi kerana belum ada tanda menunjukkan dia berjaya melepaskan diri.

Menurutnya, pihaknya kini sedang menumpukan operasi di kawasan yang disyaki menjadi tempat persembunyian Isnilon.

Beliau berkata, tentera percaya tidak sampai 100 militan, sekitar 80 orang masih berada di Marawi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2017 @ 11:04 PM