Agensi

SEEKOR anjing menyelamatkan bayi yang ditanam hidup-hidup dalam semak selepas dipercayai terhidu bayi berkenaan di Jiangjin, wilayah Chongqing, selatan China, lalu menggali bayi berkenaan keluar.

Menurut laporan Pear Video, dalam kejadian 6 Mei lalu, bayi lelaki berusia sebulan itu kemudian diselamatkan pemilik anjing dan dibawa ke klinik untuk rawatan.

Pemilik anjing itu, Yang Jiali, berkata dia mencari anjingnya dan ternampak haiwan peliharaannya itu sedang berusaha menggali sesuatu dalam semak sebelum ternampak sebahagian tubuh bayi dalam lubang.

Menurutnya, bayi itu diselimuti kain putih dan menangis.

Menurut doktor di bandar Wutan, An Yue, ketika sampai ke klinik, suhu badan bayi itu sudah menurun selain degupan jantungnya rendah.

“Mulutnya dipenuhi tanah dan lumpur,” katanya.

Bayi itu kemudian dipindahkan ke Hospital Jiangjin dan keadaannya kini stabil.

Polis dan doktor percaya bayi berkenaan ditanam kerana keluarganya menyangka dia sudah meninggal dunia dan sedang berusaha mengesan ibu bapanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 10:02 PM