CANNEYLIA (kiri) dan Nur Ezzati  teruja galas tanggungjawab kawal keselamatan pesawat dan pengunjung,
CANNEYLIA (kiri) dan Nur Ezzati teruja galas tanggungjawab kawal keselamatan pesawat dan pengunjung,
Muhaamad Hafis NawawiFardy Bungga dan Sofyan Rizal Ishak dan Hamzah Osman


Langkawi: Kehadiran empat anggota Polis Tentera Udara (PROVOS) wanita persis model bersenjatakan raifal Colt M4 Carbine menarik perhatian pengunjung LIMA’17.

Kehadiran mereka pada pameran dwi-tahunan itu seperti mengulangi kemunculan bergaya empat juruterbang wanita pasukan aerobatik August 1 dari China iaitu Yu Xu, Tao Jiali, Sheng Yi Fei dan He Xioli pada LIMA edisi ke-13 dua tahun lalu.

Ketika ditemui, Laskar Udara Canneylia Lauris, 20, berkata, dia rasa bertuah dan teruja apabila dipilih bertugas mengawasi aspek keselamatan pesawat dan pengunjung di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) sepanjang LIMA kali ini.

“Semua anggota PROVOS adalah terlatih dan sepanjang bertugas, kami dilengkapi Colt M4 Carbine dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti juga tugas dilakukan anggota lelaki.

“Saya tidak takut pada panas terik matahari, malah minat menganggotai pasukan keselamatan ini timbul sejak kecil lagi dan bertugas di tengah panas terik bukan masalah bagi saya,” katanya yang berasal dari Ranau, Sabah.

Pendapat sama turut dikongsi rakannya, Laskar Udara Nur Ezzati Zainon, 23, dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuching, Sarawak yang turut teruja selepas dipilih bertugas pada LIMA kali ini.

“Saya baru setahun bertugas dalam pasukan ini dan amat gembira apabila nama disenaraikan bersama empat rakan lain untuk bertugas di sini.

“Tanggungjawab kami berat iaitu memastikan pengunjung dan pesawat berada dalam keadaan selamat selain mengesan sebarang pergerakan individu yang mencurigakan,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.

Dua lagi rakan mereka yang turut bertugas mengawasi semua pintu masuk LTAL daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab bertugas di lokasi berasingan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 9:32 AM