Lokasi dipercayai tempat mayat bayi ditanam, Julai lalu di kawasan semak berhampiran sebuah apartmen di Sungai Besi, Kuala Lumpur. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Lokasi dipercayai tempat mayat bayi ditanam, Julai lalu di kawasan semak berhampiran sebuah apartmen di Sungai Besi, Kuala Lumpur. FOTO Nadzreen Shah Mat Salim
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


RAWATAN yang diterima seorang wanita di Bahagian Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam, membongkar rahsia dia pernah melahirkan bayi tidak cukup bulan dengan mayat bayi itu ditanam di kawasan semak berhampiran sebuah apartmen di Sungai Besi, Kuala Lumpur, Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, wanita berusia 24 tahun itu mendapatkan rawatan di HKL kerana demam.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan, doktor mendapati wanita itu mempunyai tanda baru melahirkan bayi.

"Dia kemudian mengaku melahirkan seorang bayi pada 19 Julai lalu. Anak itu meninggal dunia kerana tidak cukup bulan.

"Ketika itu, kandungannya berusia tujuh bulan dan dia melahirkan bayi di rumah sewanya di Sungai Besi," katanya.

Chong berkata, suspek meminta bantuan rakan lelaki berusia 24 tahun untuk menguruskan mayat itu dengan menanamnya di kawasan semak berhampiran sebuah apartmen di Sungai Besi.

Katanya, rakan lelaki itu sudah ditangkap untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, manakala suspek masih dirawat di HKL.

"Lelaki yang ditangkap itu bukan bapa kepada bayi itu. Setakat ini, polis masih mengesan kedudukan mayat bayi itu untuk proses menggali semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 3:44 PM