ZULHILMI (kiri) melayan pelanggan ketika program School of Collector di Jaya One, Petaling Jaya, baru-baru ini.
ZULHILMI (kiri) melayan pelanggan ketika program School of Collector di Jaya One, Petaling Jaya, baru-baru ini.
PENGUNJUNG yang hadir di ‘School of Collector’ yang berlangsung di Jaya One.
PENGUNJUNG yang hadir di ‘School of Collector’ yang berlangsung di Jaya One.
KOLEKSI mainan kepunyaan Zulhilmi.
KOLEKSI mainan kepunyaan Zulhilmi.
Redzuan Muharam


Siapa sangka, hobi memuat naik gambar patung di laman sosial membuka pintu rezeki untuk Zulhilmi Hassan, 30, memperoleh pendapatan dengan menjual koleksi permainan kepunyaannya, Zulhilmi berkata, dia tidak berseorangan sebaliknya menjalankan perniagaan itu bersama isteri sejak empat tahun lalu.

Katanya, pada mulanya, dia dan isteri sekadar suka mengumpul permainan namun permintaan kenalan yang juga penggemar patung dan mainan lain mendorongnya menjual koleksi yang ada.

“Sejak tamat persekolahan, saya minat mengumpul permainan dari Jepun seperti Kamen Rider , Masked Rider dan beberapa lagi dari era 80-an dan 90-an.

“Lama-kelamaan, minat itu menjadi serius sehingga jadi kebiasaan untuk saya memuat naik gambar permainan dengan pelbagai posisi di media sosial.

“Tak sangka pula, ada yang berminat membeli koleksi saya dan sejak itu, saya mula serius dengan perniagaan ini,” katanya.

Menurut Zulhilmi, perniagaan dijalankannya bukan setakat memberi pendapatan tetapi kepuasan kerana memenuhi kehendak pelanggan yang juga penggemar patung dan permainan lain.

Pada masa sama, Zulhilmi berkata, dia juga mendapat lebih banyak kenalan dalam kalangan pengumpul sejak aktif dengan perniagaan itu.

“Saya seorang pengumpul jadi faham dengan minat dan kecenderungan seseorang yang gemarkan permainan.

“Sebab itu, saya dan isteri cuba memenuhi permintaan mereka dengan mencari koleksi permainan yang kebanyakannya tidak lagi dijual di pasaran.

“Malah, lebih mudah bekerja dengannya kerana kebetulan kami berdua mempunyai minat sama, bezanya dia mengumpul patung Barbie dan Battat,” katanya.

Zulhilmi berkata, walaupun berdepan saingan, dia tetap akan meneruskan perniagaan yang diusahakannya selama ini kerana seronok berkongsi minat dengan individu lain.

Bagaimanapun, Zulhilmi berkata, dia tidak boleh mengharapkan jualan di tapak niaga semata-mata tetapi memanfaatkan media sosial sebagai alternatif urus niaga dalam talian.

“Saingan bagi saya bukan masalah kerana barangan terpakai (preloved) bergantung kepada kualiti dan setiap item pula mempunyai nilai tersendiri.

“Lagipun, sekarang ini ada media sosial dan medium jualan dalam talian lain jadi lebih mudah untuk pengikut dan pelanggan melihat gambar barangan dijual.

“Cuma sesekali, saya tetap akan turut serta dalam acara pameran jualan untuk mendapat pelanggan baru dan menambah kenalan dalam kalangan pengumpul lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 7:33 AM