ALI Imran bersama  anaknya, Qisha meniru aksi Kamen Rider.
ALI Imran bersama anaknya, Qisha meniru aksi Kamen Rider.

Redzuan Muharam

[email protected]

SERI KEMBANGAN: Minat terhadap siri adiwira popular Jepun, Kamen Rider mendorong Ali Imran Mohd Drus, 34, mengumpul figura patung walaupun wujud persepsi yang menganggap hobi itu lebih sesuai untuk kanak-kanak.

Jadi, tidak hairanlah kediamannya mempunyai rak khusus di ruang tamu serta di dalam bilik bagi menyimpan koleksi kesayangan yang kini dianggarkan berjumlah 2,500.

Bercerita lanjut, Ali Imran berkata, dia mula terjebak dengan hobi itu ketika berumur 13 tahun dan sudah membelanjakan RM100,000 sepanjang tempoh berkenaan.

“Sejak kecil lagi saya menggemari karakter Kamen Rider dan disebabkan minat, saya sanggup menabung bagi membeli permainan berkenaan.

“Koleksi pertama saya berharga RM29.90 dan dibeli di sebuah pasar raya pada 1995 dengan duit raya diterima ketika itu.

“Walaupun harganya tidak mahal seperti yang lain, saya rasa puas kerana dapat membelinya menggunakan duit sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Lestari Perdana, di sini.

Disebabkan terlalu obses, dia juga adakalanya membeli lebih daripada satu bagi figura sama dan menjualnya semula jika ada permintaan daripada pengumpul lain.

Namun, Ali Imran berkata, keutamaannya menjadi pengumpul dan puas setiap kali dapat memiliki figura terkini yang dijual t di pasaran walaupun sebahagiannya berharga mencecah ribuan ringgit.

“Hobi saya semakin menjadi-jadi sejak bekerja dan sudah menjadi kebiasaan untuk saya membeli koleksi terbaru setiap bulan.

“Koleksi paling mahal pernah saya beli berharga RM2,400 seunit dan tidak dinafikan, ia satu jumlah yang besar.

“Namun, sebagai penggemar, saya sanggup terutama jika satu-satu koleksi itu keluaran edisi terhad atau jarang ditemui.

“Mujur isteri (Farahana Redzuan, 34) memahami malah anak sulung saya, Qisha kini mengikut jejak langkah saya apabila mula menunjukkan kecenderungan terhadap figura,” katanya yang turut mempunyai hobi menghasilkan kartun dengan mengambil inspirasi daripada keadaan semasa.

Ali Imran berkata, selain memberi kepuasan, hobi berkenaan turut memberinya peluang menjalin hubungan persahabatan dengan pengumpul lain.

Menurut Ali Imran, mereka kebiasaannya akan bertemu dalam sesebuah acara yang dianjurkan di ibu kota atau lokasi tertentu khusus untuk menghimpunkan komuniti pengumpul.

“Sebenarnya, bukan saja figura Kamen Rider malah saya turut mempunyai beberapa koleksi permainan lain seperti Dragon Ball, UItraman, Super Sentai, Transformers dan Ninja Turtle.

“Menariknya, setiap karakter berkenaan mempunyai komuniti tersendiri jadi ia memberi peluang untuk saya menyertainya, sekali gus berkongsi minat dengan pengumpul lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 6:56 AM