Asrol Awang


Kuantan: Tidak seperti pengumpul Kamen Rider lain yang banyak menyimpan kostum dan patung, Muhamad Asyraf Rosli pula lebih berminat mengumpul tali pinggang adiwira popular Jepun itu.

Kata pemuda berusia 31 tahun berkenaan, dia sanggup membeli tali pinggang sehingga RM5,000 demi memenuhi impian dan menjadikan koleksi kesayangan.

Bekerja sebagai pensyarah, Muhamad Asyraf berkata, sehingga kini dia ada 57 unit tali pinggang Kamen Rider edisi 2000 hingga 2020.

"Sebenarnya minat saya terhadap adiwira ini sejak berumur tujuh tahun lagi tetapi saya mula mengumpul sebaik memasuki sekolah menengah dan universiti.

"Apabila bekerja, kebanyakannya (koleksi tali pinggang) dibeli secara dalam talian terus daripada pengedar di Jepun.

"Kepuasannya dapat dirasai sebaik menerima pesanan itu biarpun sedar harganya mahal. Tetapi demi kepuasan, saya sanggup berbelanja," katanya ketika ditemui di sini.

Antara koleksi Kamen Rider. FOTO Asrol Awang
Antara koleksi Kamen Rider. FOTO Asrol Awang

Menurutnya, setakat ini, hampir RM40,000 sudah dibelanjakan untuk memenuhi hobi mengumpul koleksi adiwira itu.

Katanya, dia lebih berminat membeli barangan Kamen Rider secara dalam talian kerana harganya lebih murah berbanding yang dijual di pasaran negara ini.

"Selain koleksi Kamen Rider, Power Rangers dan Digimon turut dikumpul. Tetapi ia tidak banyak seperti koleksi Kamen Rider.

"Setakat ini saya berpuas hati dengan semua koleksi ini yang diletakkan di dalam tiga almari, yang keseluruhan berjumlah RM55,000," kata bapa kepada tiga anak itu.

Muhamad Asyraf juga berterima kasih kepada isterinya, Nurullia Natasha Jamal, 31, yang memberikan sokongan dan melayan minatnya.

Dia juga mempunyai rakan termasuk di media sosial yang berkongsi minat sama dan saling bertukar idea serta maklumat koleksi adiwira mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2020 @ 10:26 AM
Muhamad Asyraf Rosli bersama anak, Muhammad Aisy Mikail menunjukkan koleksi tali pinggang Kamen Rider. FOTO Asrol Awang
Muhamad Asyraf Rosli bersama anak, Muhammad Aisy Mikail menunjukkan koleksi tali pinggang Kamen Rider. FOTO Asrol Awang