DUA lelaki Haredi melihat maklumat yang ditampalkan di satu dinding.
DUA lelaki Haredi melihat maklumat yang ditampalkan di satu dinding.
Agensi

PENDUDUKNYA penganut Yahudi konservatif dari segi amalan dan cara hidup, termasuk wanita berpakaian labuh termasuk ala burqa seperti Muslimah dan ramai antara mereka menyokong perjuangan Palestin.

Di sinilah penempatan Mea She’arim, berhampiran kota lama Baitulmaqdis. Dinamakan sempena ‘100 pintu pagar’ di situ, laluan sempitnya hari ini menjadi tempat tinggal golongan Yahudi ultra-ortodoks, Haredi.

Pakaian ‘seragam’ kaum lelaki Haredim adalah kot panjang berwarna hitam dan mereka menyimpan janggut termasuk dipintal di sisi wajah iaitu gaya dipanggil ‘peiyes.’

Kebanyakan penduduknya Yahudi Ahskenazi iaitu dengan susur galur dari Eropah Timur dan bahasa pengantar di sini adalah Yiddish. Bagaimanapun, ramai juga yang bukan daripada golongan Mizrahi (berketurunan Asia Barat dan Afrika Utara) serta Sephardic (dari Semenanjung Iberia).

Haredim tidak selesa dengan kehidupan dunia moden, sebaliknya memilih undang-undang Yahudi tradisional atau halakha, seterusnya kawasan itu secara tidak langsung kurang menerima kehadiran orang luar, lapor Middle East Eye.

Malah, penduduk melekatkan poster di semua laluan masuk ke Mea She’arim yang tidak menggalakkan orang luar masuk ke situ. Lazimnya, pelancong yang membawa kamera akan dihalau, malah sebarang gambar perlu diambil secara sembunyi seperti dilakukan untuk artikel ini, lapor portal itu.

Tiada kafe, restoran, apatah lagi panggung wayang di sini dan televisyen, radio serta Internet turut dilarang. Penduduk lebih bergantung kepada pondok telefon berbanding telefon bimbit.

Mereka juga lebih selesa menampal notis sebagai kaedah menyebarkan maklumat atau berkomunikasi. Ada kalanya notis berkenaan berbaur politik, contohnya ketika pilihan raya April lalu apabila ada rabbi yang menggunakan cara itu bagi menyeru supaya penduduk tidak keluar mengundi.

Jangan terkejut melihat bendera Palestin di pelbagai sudut di kejiranan ini kerana ada antara penduduknya menyokong perjuangan Palestin disebabkan berpegang pada kepercayaan bahawa cuma Al-Masih berhak memulihkan ‘kerajaan Israel’ kelak.

Disebabkan itu, Zionis bertentangan dengan fahaman mereka dan golongan ini menolak kerakyatan Israel selain enggan mendaftarkan anak dengan pihak berkuasa selain lantang menyokong pembubaran Israel, malah turut kerap membakar bendera negara itu.

Golongan ini juga dikecualikan daripada menjalani latihan khidmat negara yang diwajibkan ke atas semua rakyat Israel.

Mea She’arim sering sibuk pada hari Jumaat apabila semua penduduknya bergegas membuat persiapan sebelum hari rehat, Shabbat, pada Sabtu, apabila segala kegiatan termasuk kerja rumah dan menggunakan peralatan elektronik dianggap haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:10 AM