Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sedar atau tidak konflik di Asia Barat antara Palestin dan Israel bukan baru kali ini tercetus, tetapi ia tiada kesudahan sejak lebih tujuh dekad lalu.

Saban hari selama lebih 70 tahun penduduk Palestin menderita dan hak mereka dinafikan apabila terpenjara dalam negara sendiri akibat ditindas rejim zionis.

Tidak keterlaluan jika rejim zionis ini dilabel sebagai bangsa tidak tahu mengenang budi kerana terus rakus menjarah wilayah Palestin sedikit demi sedikit sejak mengisytiharkan negara haram Israel pada 1948.

Berdasarkan sumber dari APHD Channel dan ATMA, sejak masihi lagi kaum Yahudi yang berasal dari Bani Israel Timur Tengah hanya golongan yang hidup tanpa negara, malah sering ditindas terutama di negara Barat.

Ia menyebabkan mereka menubuhkan Pertubuhan Zionis Antarabangsa (WZO) dengan pengasas gerakan Zionisme, Theodor Herzl bercita-cita tinggi membangunkan negara haram Israel bagi membela nasib mereka.

Palestin pula sememangnya mempunyai kedudukan istimewa di hati umat Islam kerana Masjidil Aqsa destinasi terakhir Rasulullah SAW sebelum diangkat ke langit bertemu Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj.

Malah, Palestin juga disebut dalam al-Quran sebagai tanah suci umat Islam kerana Masjidil Aqsa berkait rapat dengan sejarah rasul terdahulu manakala bagi penganut Kristian, Palestin adalah tanah air Nabi Isa.

Sebelum Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918, Palestin dan kawasan Timur Tengah lain berada di bawah pemerintahan Empayar Turki Uthmaniyah.

AHLI keluarga meratap pemergian Iyad, 33, yang terbunuh bersama isterinya yang sarat mengandung serta anak perempuan mereka yang berumur 3 tahun di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AHLI keluarga meratap pemergian Iyad, 33, yang terbunuh bersama isterinya yang sarat mengandung serta anak perempuan mereka yang berumur 3 tahun di Semenanjung Gaza. FOTO AFP

Segalanya bermula selepas kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah yang menyertai pakatan perikatan kuasa bersama Jerman dan Austria-Hungary kalah dalam Perang Dunia Pertama, sekali gus menjadi punca British meluaskan kuasa pengaruhnya.

Akibatnya, Perancis memperoleh Syria dan Lubnan manakala Jordan, Palestin dan Iraq menjadi milik British mengikut perjanjian Sykes-Picot pada 1916.

Sejak itu, penghijrahan Yahudi berlaku secara beramai-ramai ke Palestin hingga ketegangan sering berlaku antara dua kaum itu.

Apabila keadaan semakin tidak terkawal, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan Resolusi 181 PBB pada November 1947 yang membahagikan kawasan Palestin kepada dua iaitu 57 peratus kawasan Arab Palestin manakala 43 peratus lagi milik Yahudi Israel.

Pada ketika itu, Jerusalem yang kini Baitulmaqdis diisytiharkan sebagai entiti berasingan dan bebas pengaruh Yahudi Israel atau Arab Palestin serta ditadbir badan antarabangsa.

Negara Arab lain termasuk Mesir, Jordan dan Syria membantah pelan PBB itu hingga tercetusnya perang Arab-Israel pada 15 Mei 1948, tanggal sama Israel mengisytiharkan negara haram mereka.

Disebabkan kekalahan perang, pakatan Arab terpaksa akur menerima syarat gencatan senjata pada Mac 1949 yang membuatkan Mesir memperoleh Gaza, Jordan mendapat Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur manakala Dataran Tinggi Golan (Bukit Golan) menjadi milik Syria.

SEORANG penjual roti membawa barang jualannya melepasi runtuhan bangunan yang diserang rejim Zionis Israel. FOTO AFP
SEORANG penjual roti membawa barang jualannya melepasi runtuhan bangunan yang diserang rejim Zionis Israel. FOTO AFP

Pada 5 Jun hingga 11 Jun 1967 Israel melancarkan perang enam hari ke atas pakatan Arab hingga berjaya merampas semua wilayah dikuasai tiga negara terbabit serta Baitulmaqdis Timur yang menempatkan Masjidil Aqsa turut tidak terkecuali.

Ia menjadi peristiwa Sempadan 1967 yang dikecam seluruh dunia termasuk PBB sebelum mengeluarkan Resolusi 242 pada November 1967 dengan mengarahkan Israel berundur ke sempadan namun tidak diendahkan.

Rentetan itu, pada 1973 pakatan Arab mula bangkit dengan melancarkan Perang Yom Kippur namun kerana terikat dengan perjanjian gencatan senjata yang diusul AS dan Soviet Union, mereka gagal menawan semula kawasan ditawan Israel.

Perang itu memaksa Israel berunding memulangkan semula Semenanjung Sinai menerusi Perjanjian Camp David 1978 dan menyerahkan Tebing Barat dan Gaza kepada Palestin dalam Perjanjian Oslo 1993.

Namun Israel tidak patuh kepada perjanjian dan pelan damai itu, malah semakin rakus sehingga hari ini dengan membina penempatan dan tembok pemisah haram di Tebing Barat selain tidak mahu melepaskan Baitulmaqdis Timur dengan menggunakan alasan agama.

Israel juga dilihat mencabar keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) 5 Februari lalu yang memutuskan mereka membuat jenayah perang dan kemanusiaan di wilayah Palestin sejak 1967.

Apapun, dunia terutama negara Islam harus bersatu menentang penjajahan dan penindasan berterusan rejim itu ke atas mereka yang tidak berdosa termasuk golongan tidak berdaya seperti kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Sebenarnya, isu Palestin bukan membabitkan penduduknya sahaja tetapi ia lebih daripada itu apatah lagi Masjidil Aqsa adalah kiblat Rasul dan terawal bagi umat Islam.

Pencerobohan dan penjajahan tanah suci umat Islam itu tidak wajar dipandang enteng, malah sudah tiba masanya pelakunya dibawa ke muka pengadilan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 7:01 AM