SEORANG pekerja kesihatan Magen David Adom menyediakan satu dos vaksin Moderna COVID-19 untuk diberikan kepada rakyat Palestin yang bekerja di Israel. FOTO AFP
SEORANG pekerja kesihatan Magen David Adom menyediakan satu dos vaksin Moderna COVID-19 untuk diberikan kepada rakyat Palestin yang bekerja di Israel. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Israel melancarkan kempen vaksinasi untuk 100,000 rakyat Palestin di Tebing Barat yang memegang pas untuk bekerja di wilayah jajahan Israel.

Program awal membabitkan 700 warga Palestin yang menetap di Tebing Barat itu bermula Khamis ini.

Unit tentera Israel yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal awam di wilayah Palestin, COGAT berkata, kempen utama itu akan membabitkan 100,000 rakyat Palestin dan bermula minggu ini.

Perkhidmatan perubatan kecemasan Israel, Magen David Adom berkata, ia akan mengendalikan suntikan vaksin di beberapa lokasi yang menghubungkan Tebing Barat dan Israel.

Program suntikan yang menggunakan vaksin Moderna itu juga akan dijalankan di beberapa kawasan industri di Tebing Barat.

Kira-kira 475,000 Yahudi menetap di Tebing Barat, komuniti yang ditakrifkan sebagai penempatan haram oleh komuniti antarabangsa.

Ribuan warga Palestin bekerja di penempatan itu.

Warga Palestin di timur Baitulmaqdis, turut dimasukkan dalam kempen vaksinasi pada Disember lalu.

Sehingga kini, Israel telah memberikan suntikan vaksin keluaran Pfizer/BioNTech kepada kira-kira 40 peratus daripada sembilan juta penduduknya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 7:02 PM