ACARA pelepasan oleh Shukri.
ACARA pelepasan oleh Shukri.
PEMANDANGAN hijau mengasyikkan sepanjang laluan.
PEMANDANGAN hijau mengasyikkan sepanjang laluan.
PESERTA tempatan dan luar negara yang berentap merebut kejuaraan.
PESERTA tempatan dan luar negara yang berentap merebut kejuaraan.
LALUAN berselekoh tajam dan berbukit antara halangan perlu ditempuhi peserta.
LALUAN berselekoh tajam dan berbukit antara halangan perlu ditempuhi peserta.
SHUKRI menyampaikan hadiah kepada pemenang mengikut kategori.
SHUKRI menyampaikan hadiah kepada pemenang mengikut kategori.
Zaitie Satibi


Trek sejauh 160 kilometer menyusuri bukit-bukau dan laluan berselekoh tajam bukan halangan kepada 1,400 peserta pertandingan berbasikal Shah Alam International Endurance Ride anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk berentap bagi merebut kejuaraan, baru-baru ini.

Disertai peserta tempatan dan asing seperti Indonesia, Singapura, Thailand, United Kingdom, India, Australia, Norway, Belanda, Bangladesh, Filipina, Jepun, Kanada, Perancis, Korea dan Taiwan.

Program kayuhan bermula dan tamat di Pejabat Cawangan MBSA Setia Alam, Shah Alam dan melalui jalan-jalan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Majlis pelepasan disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Shukri Mohamad Hamin dalam acara mempertandingkan dua kategori iaitu Endu RACE bagi Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20-34 tahun), Lelaki Senior Master (40 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

Kategori Endu RIDE membabitkan kayuhan santai bagi Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20-34 tahun), Lelaki Master (35-45 tahun), Lelaki Senior Master (46 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

Peserta teruja menamatkan kayuhan basikal lasak dengan merentasi kawasan bukit, cerun, ladang kelapa sawit serta hutan di sepanjang laluan, selain menikmati panorama hijau yang mengasyikkan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pertandingan pada 6 Ogos lalu mendapat tajaan pelbagai pihak dan kali ketiga anjuran pihaknya dengan kerjasama Bike Away.

Menurutnya, MBSA komited melaksanakan program berbasikal yang kini menjadi trend golongan belia, selain mendapat sambutan pelbagai peringkat usia.

Program itu juga menjadi landasan MBSA menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa selaras menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya sukan.

“Program ini antara produk pelancongan sukan di Shah Alam selain kayuhan santai dan pertandingan berbasikal kriterium.

“Objektifnya untuk mengeratkan silaturahim antara peserta, di samping memperkenalkan daerah Shah Alam kepada masyarakat luar termasuk pelancong.

“Tidak dapat dinafikan keadaan geografi Shah Alam terutama di kawasan luar bandar sememangnya sesuai buat mereka yang menggemari sukan lasak seperti basikal,” katanya.

Menurutnya, MBSA berhasrat menjadikan Shah Alam International Endurance Ride sebagai acara tahunan selepas melihat penyertaan menggalakkan pada peringkat antarabangsa.

“Peserta memberi maklum balas bahawa setiap laluan amat mencabar dan menguji kekuatan fizikal serta mental kerana ia memerlukan stamina yang baik untuk melepasi setiap halangan.

“Peserta tempatan juga didapati seronok dapat menguji keupayaan diri masing-masing dengan berentap bersama peserta dari banyak negara.

“Dengan cara ini, mereka dapat melihat sejauh mana perbezaan dengan peserta dari tempat lain, sekali gus membolehkan seseorang itu memperbaiki lagi rentak kayuhan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata, selain dapat merancakkan lagi industri pelancongan setempat secara maksimum berikutan promosi dan kehadiran pelancong luar negara, penganjuran program berkenaan turut memperkenalkan gaya hidup sihat dengan berbasikal.

“Ia bersesuaian dengan usaha MBSA untuk mempromosikan laluan basikal bagi menggalakkan aktiviti berbasikal dengan selamat dalam kalangan warga Shah Alam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:06 AM