TENGKU AMIR (depan) turut berkayuh untuk memberi cabaran kepada peserta.
TENGKU AMIR (depan) turut berkayuh untuk memberi cabaran kepada peserta.

LALUAN pertandingan berbasikal Shah Alam International Enduride (Endurance Ride) 2019 yang diubah ke lokasi baharu berbanding lima penganjuran sebelum ini tidak menghalang 1,400 peminat sukan berbasikal terutama pengikut setia menyertai acara kayuhan itu.

Lebih istimewa, pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Bike Away Sdn Bhd itu yang bermula dan tamat di AEON Big Rimau, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Majlis pelepasan disempurnakan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

PEMENANG kategori Lelaki Terbuka bergambar bersama Tengku Amir (tengah).
PEMENANG kategori Lelaki Terbuka bergambar bersama Tengku Amir (tengah).

Jarak kayuhan mencabar sejauh 155 kilometer (KM) melalui kawasan Kota Kemuning, Rimbayu, Jenjarom, Pulau Carey, Jugra, Banting, Morib, Tanjung Sepat, Sungai Pelek, Sepang, dan Sri Cheeding turut menarik penyertaan dari luar negara seperti Indonesia, Switzerland, United Kingdom, Jepun, India, Australia, Filipina, Ukraine, Singapura, Thailand serta Korea Selatan.

Program kayuhan itu mempertandingkan dua kategori iaitu Road Race bagi Lelaki Junior (bawah 19 tahun) Lelaki Terbuka (20-34 tahun) Lelaki Senior Master (40 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka, manakala Road Ride membabitkan kayuhan santai bagi Lelaki Junior (bawah 19 tahun), Lelaki Terbuka (20-34 tahun), Lelaki Master (35-45 tahun), Lelaki Senior Master (46 tahun ke atas) dan Wanita Terbuka.

Peserta yang berjaya melengkapkan kayuhan dalam masa ditetapkan menerima sijil penyertaan dan pingat ‘Finisher’ atau berjaya tamatkan kayuhan, manakala 10 peserta dengan catatan masa terbaik pula menerima sijil catatan masa dan trofi.

KANAK-KANAK menunjukkan bakat dalam pertandingan basikal tolak.
KANAK-KANAK menunjukkan bakat dalam pertandingan basikal tolak.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya komited melaksanakan program berbasikal yang kini menjadi trend kepada golongan belia sebagai satu cara gaya hidup sihat.

Program itu juga menjadi platform kepada MBSA menganjurkan acara berbasikal bertaraf antarabangsa selaras dengan usaha untuk menjadikan Shah Alam bandar raya sukan.

“Shah Alam International Enduride antara produk pelancongan sukan diperkenalkan MBSA selain pertandingan berbasikal kriterium dan kayuhan santai dijalankan pada sambutan Hari Tanpa Kenderaan Shah Alam yang diadakan setiap dua minggu sekali serta pelbagai kempen kesedaran.

PESERTA berkayuh pada jarak 155km bagi merebut kejuaraan.
PESERTA berkayuh pada jarak 155km bagi merebut kejuaraan.

“Menerusi pelbagai acara berbasikal ini, kami mahu memperkenalkan gaya hidup sihat dengan aktiviti fizikal.

“Ia bersesuaian dengan usaha MBSA mempromosikan laluan basikal yang diwujudkan di beberapa laluan awam bagi menggalakkan aktiviti berbasikal dengan selamat dalam kalangan warga Shah Alam,” katanya.

Pada acara sama turut diadakan pertandingan basikal tolak untuk kanak-kanak berusia bawah 10 tahun bertujuan menanam minat generasi muda terhadap sukan berbasikal.

Selain mendedahkan mereka kepada situasi perlumbaan, ia juga mewujudkan platform hobi dengan menjadikan berbasikal sebagai kegiatan masa lapang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:06 AM