PENUTUPAN lebih 100 cawangan KFC dipercayai memberi kesan dari segi pertumbuhan ekonomi. FOTO Arkib NSTP
PENUTUPAN lebih 100 cawangan KFC dipercayai memberi kesan dari segi pertumbuhan ekonomi. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Syarikat induk yang memegang francais restoran KFC di Malaysia serta agensi kerajaan berkaitan perlu mempertimbangkan untuk mengambil alih dan mewujudkan sistem francais bagi jenama tempatan khususnya yang menawarkan produk ayam goreng setanding jenama antarabangsa.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Must), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, penutupan lebih 100 cawangan KFC sebenarnya memberi kesan dari segi pertumbuhan ekonomi kerana ia membabitkan perniagaan yang sebelum ini begitu maju dan mengeluarkan zakat berjuta ringgit.

Katanya, sudah tiba masanya restoran makanan segera yang menggunakan sistem francais tempatan dikembangkan secara sistematik.

"Saya lihat ini peluang yang perlu diambil oleh francais tempatan dan 100 cawangan yang ditutup itu dibuka semula menggunakan francais tempatan dan sudah pasti ia mendapat sambutan daripada masyarakat.

"Lagi pula ayam goreng sekarang sudah mempunyai teknologi terkini dan resipi yang dikatakan rahsia juga dijual di pasaran secara meluas, malah ada yang lebih sedap.

"Bayangkan jika kita tidak mengambil peluang yang ada dan cawangan francais luar negara itu ditutup secara kekal, ramai pekerja akan hilang sumber pendapatan, tetapi jika kita boleh ubah menjadi francais tempatan ia akan menjadi prospek baharu.

"Malah, pekerja yang sudah mempunyai kemahiran ini lebih mudah menguruskan premis sedia ada dan sebenarnya, memang banyak syarikat tempatan yang mampu bersaing dengan restoran francais luar negara seperti KFC ini.

"Kerajaan pula boleh menyokong untuk ambil alih kelompongan yang ada dan inilah masa sesuai untuk kerajaan membangunkan francais tempatan kerana kita ada pelbagai agensi terbabit dengan peniaga.

"Masuk dan ambil peluang sebelum mereka ini declare give up," katanya kepada Bisnes Metro.

Beliau berkata, untuk jangka pendek ia tidak memerlukan kos besar bagi mengambil alih premis sedia ada dan menyelamatkan pekerja, namun jangka masa sederhana untuk kekal berdaya saing ia memerlukan modul baru termasuk mengadaptasi teknologi kecerdasan buatan (AI).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2024 @ 8:23 AM