AHMAD Taufek (dua dari kanan) bersama Ng (dua dari kiri) menunjukkan menu KFC Masak Merah Rice Wrap.
AHMAD Taufek (dua dari kanan) bersama Ng (dua dari kiri) menunjukkan menu KFC Masak Merah Rice Wrap.

Kuala Lumpur: QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd (QSR Brands), pemegang francais restoran makanan segera KFC Malaysia optimis dengan pengenalan menu terbaru, KFC Masak Merah Rice Wrap mampu mencapai unjuran jualan antara 10 hingga 12 peratus tahun ini.

Timbalan Pengurus Besar Arus Perdananya, Evelyn Ng berkata, pihaknya yakin hasil gabungan citarasa tradisional daripada sentuhan unik terhadap hidangan Zinger Rice Wrap bakal mendapat sambutan hangat terutama dalam kalangan pelanggan setia.

“Kami sentiasa peka terhadap kehendak pelanggan. Oleh itu, KFC Malaysia sering mencipta hidangan baru setiap dua bulan mengikut selera penggemarnya.

“Kombinasi resipi masakan masak merah menjadi idea kepada tercetusnya Masak Merah Rice Wrap, di mana ia bersesuaian dengan selera pelanggan di negara ini,” katanya pada pelancaran KFC Masak Merah Rice Wrap, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Digital dan Teknologi Maklumat KFC Malaysia, Ahmad Taufek Omar berkata, hidangan terbabit gabungan kepingan Zinger rangup, dibalut dengan tortilla bakar, berintikan Nasi Colonel serta sayuran segar seperti tomato dan timun Jepun yang disempurnakan oleh sos masak merah.

“Menu ini bukan sahaja sajian seimbang, ringkas dan menyelerakan daripada olahan citarasa tempatan, malah sesuai untuk remaja dan belia, apatah lagi dengan gaya hidup mereka yang sentiasa sibuk,” katanya.

KFC Masak Merah Rice Wrap boleh didapati di semua restoran KFC berhampiran bermula semalam dengan harga RM6.90 bagi hidangan a la carte serta RM8.90 hingga RM9.45 masing-masing untuk saiz Jumbo dalam kombo dan Super Jimat Rice Wrap Box.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 6:32 AM