KFC lancar semula Ayam Kicap Meletup.
KFC lancar semula Ayam Kicap Meletup.

Kuala Lumpur: KFC Malaysia menyasarkan penguasaan pasaran kumpulannya dapat ditingkatkan satu hingga dua peratus menjelang akhir tahun ini, berbanding 46 peratus pada tahun lalu.

Naib Presiden Kanannya, Ling Mee Jiuan berkata, angka itu dapat dicapai dengan pengenalan pelbagai hidangan baru dan meletakkan sasaran jualan keseluruhan syarikat mencatatkan kenaikan sebanyak lapan peratus berbanding tahun lalu, didorong pengenalan menu serta pembukaan cawangan baru.

“Mengikut perancangan kumpulan, KFC Malaysia bakal membuka dan menambah angka restoran pada jumlah minimum sebanyak 28 buah, sebelum akhir tahun ini berbanding 634 buah setakat Disember tahun lalu.

“Kami akan membangunkan restoran KFC tanpa mengambil kira tempat di pelbagai jenis kawasan seluruh Malaysia termasuk di bandar kecil, di dalam pusat membeli-belah serta cawangan pandu lalu untuk mencapai pasaran domestik,” katanya pada majlis pelancaran semula menu Ayam Kicap Meletup, semalam.

Beliau berkata, syarikat menggangarkan perbelanjaan modal (Capex) adalah RM2 juta hingga RM5 juta dan bagi membuka cawangan bersaiz kecil, ia memerlukan pelaburan bernilai RM1.5 juta manakala restoran keluasan sederhana pula berharga RM2 juta.

Mee Jiuan berkata, Ayam Kicap Meletup pernah dilancarkan pada Jun tahun lalu dan berikutan sambutan yang memberangsangkan, pihaknya menawarkan produk itu yang menggabungkan ayam goreng KFC dengan sentuhan kegemaran tempatan iaitu kicap serta cili.

Untuk tempoh enam minggu bermula semalam, hidangan kombo Ayam Kicap Meletup boleh didapatkan pada harga RM11.95, ‘bucket’ 9 ketul bersama kentang putar bersaiz besar, satu kentang goreng ‘crispier fries’ dan satu botol Mirinda Orange 1.5 liter bernilai RM46.90, manakala pilihan ‘bucket’ 5 ketul ayam dijual pada harga RM27.90.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2016 @ 6:42 AM