TNB melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED) berusaha mengukuhkan perniagaannya pada masa hadapan.
TNB melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED) berusaha mengukuhkan perniagaannya pada masa hadapan.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui Bahagian Tenaga Baharu (NED) berusaha mengukuhkan perniagaannya pada masa hadapan dengan mengembangkan jejak tenaga boleh baharu (TBB) secara global melalui penggabungan dan pemerolehan, pembangunan aset dan mewujudkan perkongsian strategik dengan pemain-pemain industri TBB terkemuka.

Anak syarikat milik penuhnya, Vantage RE Ltd (Vantage RE) yang dilancarkan pada 1 Julai 2021, kini mengendalikan dan mengurus portfolio aset TBB TNB di United Kingdom (UK) dan Eropah.

Pada Oktober 2021, Vantage RE meningkatkan portfolio TBB TNB dan matlamat sifar bersih dengan pengambilalihan 49 peratus kepentingan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), anak syarikat kepada syarikat utiliti Perancis, √Člectricit√© de France (EDF).

Ia juga menyelesaikan pemerolehan 100 peratus kepentingan dalam portfolio angin dalam pesisir 97.3MW di United Kingdom (UK) pada April 2022.

Kedua-dua pengambilalihan itu membantu mempercepatkan pelaksanaan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urusnya (ESG).

Sehingga kini, ia mencapai 530MW portfolio TBB termasuk angin luar pesisir, angin dalam pesisir dan ladang solar di UK; pengambilalihan ini menandakan kejayaan pelaksanaan strategi syarikat utiliti nasional itu untuk mengembangkan portfolio TBB TNB dalam pasaran tumpuan seperti di UK dan Eropah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Baharin Din berkata, ia akan mempercepat peralihan TNB ke arah masa depan tenaga boleh baharu melalui penjanaan karbon rendah, sejajar Hala Tuju Kelestarian TNB dan visi ESG secara keseluruhannya.

"Pada peringkat tempatan, dalam usaha mempercepatkan penyahkarbonan, projek empangan hidroelektrik di Nenggiri, Gua Musang oleh anak syarikat penjanaan kuasanya, TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) akan bermula tahun ini.

"Projek itu bakal menyalurkan 300 megawatt (MW) TBB kepada grid nasional apabila siap pada 2026 nanti.

"Ia akan meningkatkan kestabilan bekalan di Semenanjung Malaysia, khususnya ke wilayah timur, sekali gus memberikan faedah tambahan kepada Kelantan dari segi tebatan banjir, bekalan air bersih dan air mentah untuk pengairan," katanya dalam kenyataan.

TNB Genco, yang kini menjana 50 peratus tenaga di Malaysia, sedang berusaha untuk memanjangkan hayat stesen janakuasa hidro sedia ada iaitu stesen janakuasa Sungai Perak, Kenyir dan Cameron Highlands dan akan memanfaatkan bahan api ammonia rendah karbon dalam teknologi pembakaran, sekali gus memerangkap karbon di stesen janakuasa arang batunya, dalam usaha mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 6:00 AM