Baharin (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara TNB dan EGAT di Bangkok.
Baharin (dua dari kiri) pada majlis menandatangani MoU antara TNB dan EGAT di Bangkok.

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meningkatkan agenda Peralihan Tenaga bertanggungjawabnya melalui tiga cadangan kerjasama pemain-pemain tenaga utama di Thailand, untuk memanfaatkan permintaan serantau dan potensi tenaga hijau di Asean.

Melalui kerjasama itu, TNB berhasrat mengukuhkan kesaling hubungan tenaga Asean dan membolehkan setiap rakan kongsi memanfaatkan sumber masing-masing serta membangunkan infrastruktur berkaitan tenaga boleh diperbaharui (RE) serantau.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din berkata, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk merealisasikan mercu tanda penting dalam pelan Peralihan Tenaga bertanggungjawab dan komitmen keseluruhan hala tuju kelestarian TNB.

"Kami yakin kerjasama ini akan mempercepatkan cita-cita neutral karbon setiap syarikat rakan kongsi dan mengukuhkan momentum pertumbuhan Tenaga Boleh Baharu (TBB) di rantau Asean.

"Dengan unjuran Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA) bahawa lebih 60 peratus daripada penjanaan terpasang negara-negara Asean pada 2050 adalah bersumberkan TBB, iaitu sekurang-kurangnya 1,500GW kapasiti penjanaan, yang mana TNB berharap dapat menyertainya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syarikat utiliti itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pihak Berkuasa Penjanaan Elektrik Thailand (EGAT), di Bangkok semalam, untuk menubuhkan Jawatankuasa Kerja Bersama bagi mengkaji kebolehlaksanaan cadangan peningkatan kapasiti kesalinghubungan di antara Semenanjung Malaysia dan Thailand.

Dua anak syarikat TNB iaitu TNB Renewables Sdn Bhd (TRe) dan TNB Power Generation Sdn

Bhd (TNB Genco) menandatangani MoU masing-masing dengan Planet Utility Co Ltd (PU) dan

B Grimm Power Public Co Ltd (B Grimm).

MoU TRe-PU adalah untuk meneroka potensi TBB dan peluang teknologi penjanaan di Thailand manakala MoU Genco-B Grimm akan meneroka sebarang peluang untuk kerjasama, penyertaan dan pembangunan projek TBB di rantau ini.

Bagi MoU dengan PU, ia termasuk menilai pilihan strategik untuk pelaburan TBB berpotensi di Thailand merangkumi solar terapung, solar atas bumbung dan ladang solar yang akan menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan TRe dan pengembangan pasaran.

Kerjasama itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak dalam pelaburan dan pembangunan projek-projek TBB serta meneroka peluang lain di rantau ini.

Dalam MoU dengan B Grimm pula, TNB Genco antara lain berhasrat untuk berkolaborasi, membangunkan bersama dan melabur dalam projek baru tenaga mampan pilihan bersama serta projek tenaga konvensional B Grimm Power, di rantau Asia Tenggara.

Pembabitam dalam projek-projek ini dijangka menyokong pertumbuhan TNB Genco dan sasaran Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) selaras dengan aspirasi TNB untuk mencapai karbon sifar bersih menjelang 2050.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok yang mana beliau menyaksikan pertukaran dokumen ketiga-tiga MoU tersebut.

Baharin menjelaskan bahawa kajian kesalinghubungan grid Semenanjung-Thailand akan memudahkan integrasi TBB di rantau ASEAN dan meluaskan potensi perdagangan tenaga pelbagai hala serantau pada masa depan.

Katanya, kerjasama dan penerokaan dengan rakan kongsi Thailand itu akan membolehkan lebih banyak lagi peluang perniagaan di peringkat serantau dan pada masa sama meningkatkan kapasiti TBB TNB.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 6:49 PM