SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani plak perasmian Unit Manjung 4, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Seri Manjung. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) dan Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie (dua dari kanan).
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menandatangani plak perasmian Unit Manjung 4, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Seri Manjung. Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (kanan) dan Pengerusi TNB Tan Sri Leo Moggie (dua dari kanan).
Mohd Hafizee Mohd Arop

hafizee@ hmetro. com. my

Manjung : Apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan loji janakuasa terbaru Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Janamanjung baru-baru ini, ia memahatkan mercu tanda baharu industri tenaga tanah air.

Kewujudan loji dikenali sebagai Manjung 4 itu menjadikan pulau tebus guna di Teluk Rubiah muncul sebagai lokasi pengeluar elektrik terbesar di Malaysia dengan kapasiti penjanaan berjumlah 3,100 Megawatt (MW).

Sesungguhnya, Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) milik TNB Janamanjung Sdn Bhd di situ sudah berkembang seiring dengan usianya sejak tahun 2003 dengan pembinaan tiga loji janakuasa arang batu berkapasiti keseluruhan 2,100MW.

“Ini sekali gus akan menyumbang kepada kestabilan Sistem Grid Nasional dan meletakkannya sebagai pengeluar tenaga bebas terbesar di Semenanjung Malaysia,” kata Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie.

Menurutnya, loji janakuasa Manjung 4 sudah pun mencatatkan beberapa rekod yang membanggakan walaupun tidak sampai setahun beroperasi iaitu sebaik siap dibina pada 14 April tahun lalu.

Manjung 4 dinobatkan sebagai stesen janakuasa pertama di Asia Tenggara menggunakan teknologi pembakaran super ultracritical atau Ultra Super Critical Boiler, justeru menjadikannya stesen janakuasa ‘paling efisien’ di rantau ini.”

Tambah Moggie lagi, teknologi pembakaran arang batunya lebih efisien dengan kecekapan 40 peratus berbanding 36 peratus kecekapan dicatatkan sistem arang batu berhablur (pulverised coal firing) di tiga lagi loji sedia ada SJSAS.

Melalui teknologi baharu itu, Manjung 4 hanya menggunakan 9,000 tan metrik arang batu untuk menghasilkan 1,000MW tenaga manakala tiga loji pula menggunakan 8,000 tan metrik setiap satu untuk menghasilkan masing-masing 700MW tenaga elektrik.

“Bayangkan, dengan menggunakan arang batu yang lebih sedikit, Manjung 4 masih mampu mengekalkan jumlah pengeluaran yang sama (1,000 MW) setiap hari, sekali gus mengurangkan abu, habuk dan pencemaran,” katanya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili ketika berucap di majlis perasmian loji itu berkata, pelepasan gas rumah hijau Manjung 4 juga dapat dikurangkan bertepatan dengan hasrat negara untuk menangani perubahan iklim dan masalah pemanasan sejagat.

“Penggunaan peralatan kawalan pencemaran udara yang lengkap pula dapat memastikan bahan pencemaran diperangkap dan tidak dilepaskan melebihi piawaian pelepasan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 9:37 AM