Rafiq Razali.
Rafiq Razali.

Kuala Lumpur: Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (Forum Kandungan) mengumumkan pelantikan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, sebagai pengerusi baharunya.

Rafiq menggantikan Kenny Ong yang ketika ini memegang tanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Sony Music Entertainment untuk Malaysia, Singapura dan Vietnam.

Dalam kapasiti baharunya, Rafiq mengambil alih kepimpinan dalam membentuk rangka kerja kawal selia kendiri yang berdaya tahan untuk industri kandungan komunikasi dan multimedia.

Bersama ahli majlis Forum Kandungan, beliau akan merangka inisiatif strategik yang sejajar dengan visi organisasi, memberikan penekanan yang ketara kepada kawal selia kendiri dan amalan terbaik yang penting untuk pertumbuhan industri dan perlindungan pengguna.

"Saya amat berterima kasih atas peranan ini, satu keistimewaan untuk memikul tanggungjawab yang besar ini.

"Saya teruja untuk meningkatkan aras pada kerja teladan yang dilakukan oleh Forum Kandungan sejak penubuhannya," katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan latar belakangnya yang luas membabitkan pengemudian industri dinamik, Rafiq menegaskan keperluan untuk berkembang bagi memenuhi permintaan dinamik landskap kandungan yang sentiasa berkembang.

Katanya, terdapat keperluan untuk peraturan dan pengaruh meluas ke spektrum platform dan industri yang lebih luas.

"Perhatian berterusan dan pertimbangan menyeluruh mengenai keperluan ahli di Kandungan Forum adalah yang terpenting.

"Matlamat saya adalah untuk meluaskan skop Forum Kandungan, berikutan kandungan yang digunakan melangkaui platform berlesen di Malaysia.

"Sebaik-baiknya, Forum Kandungan dan Kod Kandungan harus merangkumi pelbagai industri yang lebih luas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 3:58 PM