GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Najwa Mohd Noordin


Kuala Lumpur: Isu keselamatan dan teknologi terkini dalam industri media bakal dibincangkan dalam Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2024 (IRC 2024) yang akan diadakan pada 6 dan 7 Mei ini.

Bertemakan 'Menyelaras Inovasi Dengan Keselamatan Bagi Masa Depan Mampan', persidangan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini akan mengetengahkan perbincangan mengenai inovasi, teknologi baru muncul dan pelbagai berhubung industri komunikasi dan multimedia.

Menurut MCMC, peserta berpeluang menjadikan perkongsian sebagai platform perbincangan aktif bersama pihak berkepentingan dalam pertukaran idea dan pandangan serta menerokai landskap industri.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dijangka merasmikan persidangan itu yang bakal dipenuhi dengan pengisian menarik dikongsi oleh penceramah terkemuka serta berpengetahuan luas.

"Antara topik menarik dalam sesi perkongsian bersama panel tempatan dan luar negara termasuk forum mengenai privasi dan keselamatan pengguna dalam talian bakal dijalankan pada 6 Mei.

"Dalam pada itu, pendekatan untuk memperkasakan pemasaran digital di negara ASEAN turut diketengahkan untuk memberi cadangan kepada e-dagang tempatan bagi dipertingkat bersama teknologi baru," katanya.

Menurutnya, pada 7 Mei, perbincangan aktif bersama panel mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan teknologi baru muncul bakal memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan pengetahuan dan pemikiran kritis mereka.

Selain itu, topik mengenai keterhubungan inklusif tanpa had juga akan dibincangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 3:59 PM