Steven (empat dari kanan) dan Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Adlin Yusman (lima dari kanan) bersama sebahagian tetamu program Future Forum 2023.
Steven (empat dari kanan) dan Pengarah Urusan Endeavor Malaysia, Adlin Yusman (lima dari kanan) bersama sebahagian tetamu program Future Forum 2023.

Kuala Lumpur: Endeavor mencipta sejarah baru dengan menganjurkan majlis 'Future Forum 2023' yang berjaya menghimpunkan pemain utama industri jenama pengguna di Malaysia yang dihadiri lebih 400 peserta.

Majlis berprestij itu menonjolkan kisah perjalanan jenama-jenama

pengguna terbesar di rantau Asean dan memperkasakan usahawan dalam pelbagai bidang, pelabur dan pakar industri bagi menyerlahkan potensi mereka dan memberi definisi kejayaan yang baru.

'Future Forum 2023' bermula dengan sesi ucaptama dari Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

Beliau menegaskan mengenai keunikan Malaysia sebagai negara dengan pelbagai masyarakat, serta peranannya yang penting dalam memacu kejayaan dalam keusahawanan.

Beliau turut menggesa usahawan yang hadir untuk merebut peluang di persada dunia dan melonjakkan usaha niaga ke tahap yang lebih tinggi.

Mentor Endeavor yang juga Pengarah Urusan CircleDNA, Joel Neoh berkata, formula utama kejayaan adalah komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam mempelajari dan memerhati landskap global.

"Saya percaya walaupun teknologi masa depan sudah ada, taburannya masih tidak sekata.

"Bagi merapatkan jurang ini, usahawan perlu aktif menerokai pelbagai sudut di dunia untuk menyelami dasar keusahawanan negara-negara berbeza," katanya.

Menurutnya, dengan mengkaji secara intim produk, perkhidmatan, dan pendekatan penyelesaian masalah yang inovatif oleh usahawan di seluruh dunia, ia membantu mendapat perspektif lebih luas.

"Ia membolehkan saya menerapkannya secara berkesan dalam pasaran yang saya ingin tembusi," katanya dalam kenyataan.

'Future Forum 2023' terbukti sebagai pemangkin kuat dalam memacu syarikat-syarikat Malaysia ke pentas global dan memperkasakan mereka untuk melakukan apa yang dianggap mustahil dalam landskap teknologi pengguna.

Kisah-kisah jujur yang dikongsikan oleh usahawan cemerlang ini menjadi

contoh kepada nilai-nilai Endeavor iaitu; memasang impian lebih besar, berkembang lebih pesat, dan 'pay it forward' (membalas kebaikan dengan kebaikan).

Acara luar biasa ini menampilkan senarai tokoh industri yang terkemuka, termasuk Ahli Lembaga Pengarah Emeritus Endeavor, Tony Fernandes (Ketua Pegawai Eksekutif Capital A); Ahli Lembaga Pengarah Endeavor, Eric Cheng (Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Carsome); dan Mentor Endeavor, Rafiq Razali (Pengarah Urusan Media Prima).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2023 @ 12:46 PM