SHAMIR Aziz (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja dan Himpunan Madani Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Ibu Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). FOTO Genes Gulitah
SHAMIR Aziz (kanan) ketika mengadakan lawatan kerja dan Himpunan Madani Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di Ibu Pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). FOTO Genes Gulitah
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Petaling Jaya: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menyatakan pembiayaan RM2.61 bilion disalurkan dengan sasaran bagi membantu 340,000 usahawan mikro atau digelar sebagai Sahabat di bawah seliaannya pada tahun ini.

Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz berkata, peningkatan RM100 juta itu susulan pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Belanjawan 2024.

Katanya, berbanding pada tahun lalu, pihaknya menyalurkan pembiayaan sebanyak RM2.6 bilion bagi membantu 320,000 Sahabat.

"Tahun ini, kita sasarkan 340,000 sahabat dengan kemasukan RM100 juta baharu dengan andaian setiap sahabat meminjam tambahan RM3,000 ke RM5,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat AIM di sini, hari ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan dan Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Seri Dr Syed Hussian Syed Junid.

Mengulas lanjut, Shamir berkata, dana tambahan itu akan dikeluarkan pada Mac ini iaitu pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

"Di samping itu kita juga akan menggerakkan cawangan AIM untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan ahli Parlimen dan Adun (ahli dewan undangan negeri) untuk mengatasi masalah kemiskinan di kawasan masing-masing," katanya.

Shamir berkata, sejak beroperasi 37 tahun lalu, hampir semua usahawan mikro berjaya membayar pinjaman mereka setiap minggu, tepat pada masanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak 99.91 peratus usahawan membayar pinjaman mereka semula.

"Hanya sebanyak 0.09 peratus atau seramai 240 usahawan daripada 320,000 peminjam gagal membayar pinjaman mereka.

"Oleh itu, AIM mengadakan program khas kepada mereka bertujuan untuk meningkatkan pendapatan dan keluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2024 @ 3:36 PM